AM

PERSIAPAN PENGGUNAAN E.MAS 7 KENDERAAN RASMI PERSIDANGAN ASEAN DI PERINGKAT AKHIR - NIK NAZMI

17/12/2024 08:02 PM

PUTRAJAYA, 17 Dis (Bernama) -- Persiapan untuk penggunaan kenderaan elektrik (EV) nasional pertama e.MAS 7 sebagai kenderaan rasmi bagi kegunaan pemimpin semasa Persidangan ASEAN tahun hadapan, kini di peringkat akhir.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata Proton e.MAS 7, iaitu EV keluaran Proton Holdings Bhd (Proton) akan menjadi kenderaan rasmi seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

“Kami akan menggunakan e.MAS 7 pada peringkat tertentu, tetapi di peringkat-peringkat lain juga akan menggunakan kebanyakan EV, jenama yang berbeza.

“Sebenarnya kenderaan EV lain juga akan diguna pakai, cuma e.MAS 7 adalah kenderaan yang rasmi. Ada beberapa peringkat seperti peringkat ketua negara, ketua kerajaan, menteri, pegawai dan sebagainya bergantung pada permintaan dan keperluan tertentu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Garis Panduan Peralihan Kenderaan Kerajaan kepada EV, di sini hari ini.

Semalam Anwar berkata pemilihan e.MAS 7 sebagai kereta rasmi untuk mesyuarat ASEAN tahun depan menunjukkan sokongan kerajaan terhadap pengeluaran kereta elektrik pertama negara oleh Proton.

Ia juga menunjukkan komitmen negara dalam mempromosikan pembangunan EV, dengan menekankan bahawa ia adalah lanjutan yang boleh dilihat secara langsung daripada komitmen pelepasan karbon sifar bersih negara.

-- BERNAMA

 


    BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

    Ikuti kami di media sosial :
    Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
    Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
    Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
    TikTok : @bernamaofficial

    © 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan