SHAH ALAM, 18 Dis (Bernama) -- SD Guthrie akan mengeluarkan notis rasmi kepada penternak lembu yang menduduki tanah syarikat itu secara tidak sah, untuk memindahkan haiwan ternakan dari ladang mereka di Sabak Bernam, selewat-lewatnya 31 Jan ini.
Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor Datuk Rizam Ismail berkata keputusan itu antara yang dicapai dalam mesyuarat diadakan antara beliau bersama pihak SD Guthrie, semalam.
Beliau berkata langkah itu susulan aduan pelbagai pihak berkaitan lembu ternakan yang didakwa dibiar bebas sehingga menjejaskan keselamatan penduduk serta berlakunya insiden seorang lelaki meninggal dunia pada 23 Okt lepas, ekoran motosikal ditunggangnya melanggar seekor lembu di Sabak Bernam.
“Pada mesyuarat itu, SD Guthrie telah memberikan penerangan dan menyatakan bahawa lembu-lembu berkeliaran itu bukan milik mereka, sebaliknya milik penternak yang menduduki tanah milik SD Guthrie secara tidak sah.
“SD Guthrie telah mengenal pasti penternak terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rizam berkata untuk langkah penyelesaian jangka pendek, mesyuarat itu turut mencadangkan lokasi alternatif sementara seperti di Sungai Lang dan Tebuk Jawa di Sabak Bernam bagi menempatkan haiwan ternakan berkenaan.
“Dalam masa sama, penternak dinasihat untuk memohon tanah bagi lesen pendudukan sementara (TOL) daripada kerajaan negeri sebagai penyelesaian jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata mesyuarat itu bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatan kuasa khas yang bertanggungjawab memantau aktiviti penternakan di Ladang SD Guthrie yang akan dipengerusikan beliau serta dianggotai Pegawai Daerah Sabak Bernam Ali Sadikin Sadim dan sokongan agensi-agensi berkaitan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial