AM

Jabatan Kesihatan Melaka Keluar 1,933 Notis Kesalahan Kebersihan Sehingga November

05/12/2024 08:17 PM

MELAKA, 5 Dis (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Melaka mengeluarkan 1,933 notis kesalahan kebersihan berjumlah RM320,900 ke atas premis makanan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, dalam tempoh 1 Jan hingga 23 Nov lepas.

Pengarah Kesihatan Melaka Dr Ruzita Mustaffa berkata dalam tempoh itu juga, sebanyak 49 premis makanan termasuk empat kantin sekolah di negeri itu dikenakan tindakan penutupan selama 14 hari di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Beliau berkata antara sebab utama arahan penutupan premis dikeluarkan ialah dapur premis makanan itu terdapat urungan najis tikus dan lipas selain tahap kebersihan premis rendah.

"Jabatan Kesihatan Melaka memeriksa sebanyak 5,841 premis makanan di sekitar negeri ini antaranya kantin sekolah, institusi pengajian tinggi, restoran dan hotel dalam tempoh 1 Jan hingga 23 Nov lepas.

"Dalam tempoh itu juga, sebanyak 20 episod wabak keracunan makanan melibatkan lapan sekolah di sekitar Melaka selain kilang, resort dan depoh tahanan sementara," katanya kepada pemberita pada Majlis Pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS) di sini hari ini.

Beliau berkata antara punca keracunan makanan yang berlaku ialah makanan yang dimakan lebih daripada empat jam selepas disediakan dan makanan yang belum dimasak mencemari makanan telah dimasak atau makanan sejuk beku seperti ayam tidak dinyah beku dengan baik sehingga menyebabkan ia tidak dimasak dengan sempurna.

Selain itu katanya sebanyak 191 premis makanan mendapat pengiktirafan BeSS daripada Kementerian Kesihatan dalam tempoh tiga tahun sejak 2022 dengan 72 premis terdiri daripada 22 kantin sekolah dan 50 outlet makanan menerima pengiktirafan itu dalam tempoh Januari hingga November tahun ini.  

Dr Ruzita berkata pengiktirafan BeSS memberi pilihan dan keyakinan kepada pelanggan atau pengunjung untuk memilih premis makanan bersih dan selamat berdasarkan logo BeSS dipaparkan di premis diiktiraf. 

Beliau berkata pengiktirafan itu secara tidak langsung dapat menarik kehadiran pelancong dalam dan luar negara ke Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024 yang turut dikenali sebagai destinasi gastronomi negara.

"Antara kriteria permohonan bagi mendapatkan pengiktirafan BeSS ialah premis makanan mendapat markah pemeriksaan 86 peratus dalam penilaian tahap kebersihan dijalankan, berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan mempunyai lesen atau kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan.

"Selain itu, pengendali makanan wajib mempunyai suntikan anti-tifoid dan menghadiri Kursus Latihan Pengendali Makanan dan tempoh sah laku pengiktirafan BeSS ialah tiga tahun," katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan