AM

SHARP Malaysia Rai Ulang Tahun Ke-40 Dengan Kempen Live Mighty

20/12/2024 07:07 PM

SHAH ALAM, 20 Dis (Bernama) -- Sharp Electronics Malaysia Sdn Bhd (SHARP) meraikan ulang tahun ke-40 dengan pelancaran kempen ‘Live Mighty’ dan program ‘Double Sincerity Service Upgrades’, yang menyerlahkan komitmennya untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat Malaysia melalui teknologi canggih dan standard servis yang luar biasa.

Pengarah Urusan SHARP Malaysia Ting Yang Chung berkata kempen Live Mighty merangkumi pelbagai projek termasuk promosi, inovasi dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang turut menyaksikan pelantikan pemain badminton beregu wanita negara Pearly Tan dan M. Thinaah sebagai duta kempen.

“Ulang tahun ke-40 ini bukan sahaja bagi meraikan masa lampau, tetapi juga menjadi titik permulaan untuk masa depan... Pearly dan Thinaah menunjukkan maksud sebenar 'Live Mighty' di dalam dan di luar gelanggang melalui usaha gigih mereka mengejar kecemerlangan dan keupayaan untuk menginspirasikan individu lain.

“Menerusi kerjasama ini, kami berharap dapat memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk menghadapi cabaran harian dengan penuh keyakinan dan mencipta kehidupan yang luar biasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata semasa kempen Live Mighty, SHARP akan memperkenalkan pelbagai promosi unik dan terus memperkenalkan penyelesaian pendidikan pintar serta tempat kerja pintar, di samping memberi kembali kepada komuniti, terutamanya membantu golongan kurang bernasib baik, selain menjalankan aktiviti pemeliharaan alam sekitar.

Mengenai program Double Sincerity Service Upgrades, Ting berkata SHARP menjadi jenama peralatan kediaman pertama yang memperkenalkan program Jaminan Servis Siap 7 Hari, memastikan perkhidmatan selepas jualan yang pantas dan boleh dipercayai di seluruh negara.

“Selain meningkatkan kualiti hidup orang ramai, kami komited menjadi jenama yang memfokuskan kepada perkhidmatan dan kualiti. Jaminan pembaikan siap dalam tempoh tujuh hari kami di seluruh negara menunjukkan keikhlasan berganda dan komitmen peningkatan servis kepada pengguna kami yang dihargai.

“Selain itu, pelanggan yang membeli mana-mana produk siri INVERTER atau siri 120Hz AQUOS XLED TRU dari sekarang hingga 31 Dis 2025, akan menerima jaminan lanjutan setahun selepas pendaftaran dalam talian,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan