BERITA TERGEMPAR   PM Anwar expresses condolences to the family of Egyptian Islamic movement activist Youssef Nada who passed away today | 
 AM

KKM Tidak Pandang Enteng Lebih 6,000 Doktor Letak Jawatan Sepanjang Lima Tahun - Dzulkefly

22/12/2024 10:59 AM

KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) tidak memandang enteng lebih 6,000 doktor yang meletak jawatan sepanjang lima tahun lepas, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata jumlah tersebut juga termasuk 3,200 pegawai perubatan (MO) kontrak yang meletak jawatan untuk beralih ke jawatan tetap, selain sesetengah doktor beralih ke bidang akademik namun masih menyumbang kepada pengukuhan sektor kesihatan awam.

“Saya akui dan sedari sepenuhnya bahawa KKM kekurangan kakitangan. Manakala dalam itu, sesetengah warga KKM juga terpaksa menanggung bebanan tugas lebih daripada rakan lain. Saya pastinya tidak akan menafikan situasi ini.

“Namun, walau dengan segala kekangan yang wujud hari ini, saya akan pastikan bahawa semua isu  dihadapi oleh warga KKM di lapangan akan ditangani dalam penggal kedua saya sebagai Menteri Kesihatan,” katanya dalam catatan di Facebook.

Catatan berkenaan sebagai membalas pertanyaan pakar perunding nefrologi Dr Rafidah Abdullah yang ingin tahu perancangan dan strategi KKM dalam mengatasi situasi isu peletakan jawatan oleh para doktor.

Dzulkefly berkata ketirisan bakat kekal menjadi cabaran signifikan dalam semua industri, termasuk sektor kesihatan dan KKM tidak dapat menghalang MO dan pakar perubatan daripada berhijrah ke sektor swasta, walaupun telah melaksanakan beberapa strategi untuk mengekalkan mereka dalam sektor awam.

“Dalam jangka sederhana, dengan inisiatif Rakan KKM Partnership, kita akan saksikan beberapa perubahan. Prospek ganjaran lebih baik dan fasiliti kesihatan dinaik taraf - yang bakal dicapai melalui subsidi silang oleh pendapatan baharu daripada 'perkhidmatan ekonomi premium ‘#RakanKKM' - diharapkan dapat meningkatkan insentif untuk mereka kekal dalam sektor awam.

“Langkah jangka pendek termasuk kenaikan dan pelarasan gaji, jadual kerja lebih anjal, dan membenarkan amalan lokum. KKM terus komited untuk meningkatkan keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan, serta kebajikan profesional perubatan seluruhnya,” katanya.

Mengenai kekurangan kakitangan di Hospital Seri Manjung, Perak, Dzulkefly berkata Bahagian Sumber Manusia (BSM) akan mengagihkan lebih banyak MO ke jabatan yang kritikal.

“Terdapat peningkatan pengagihan MO ke semua fasiliti KKM setiap tahun, dan sebuah kohort baharu MO baru sahaja diagihkan pada minggu lepas. Oleh itu, Hospital Seri Manjung juga akan segera menerima tambahan kakitangan perubatan.

“Cabaran ini juga bukan terhad kepada Hospital Seri Manjung sahaja, namun dihadapi di seluruh negara. Oleh itu, KKM akan berusaha sedaya upaya untuk menangani keperluan mendesak ini,” katanya dan menambah beliau kekal komited untuk merealisasikan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan