AM

Pulau Pinang Salur RM70,000-RM80,000 Kepada SJKT Tingkat Kemudahan Asas

22/12/2024 07:20 PM

GEORGE TOWN, 22 Dis (Bernama) -- Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Pulau Pinang menerima peruntukan antara RM70,000 hingga RM80,000 setahun bagi menambah baik kemudahan asas.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata meskipun peruntukan itu belum mencukupi untuk memenuhi semua keperluan namun pihaknya akan memastikan ia tidak dikurangkan.

Malah katanya kerajaan negeri akan berusaha untuk meningkatkan peruntukan bagi memastikan pembangunan berterusan SJKT di seluruh negeri ini. 

“Saya juga menekankan bahawa sokongan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada SJKT melalui peruntukan tahunan akan diteruskan setiap tahun dan saya percaya setelah hampir 15 tahun program ini dilaksanakan, kita sudah dapat menyaksikan kemudahan-kemudahan asas di SJKT ini dipertingkatkan setahun demi setahun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Persidangan Guru-Guru Bahasa Tamil Negeri Pulau Pinang Peringkat Antarabangsa 2024 di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Pulau Pinang di sini, hari ini.

Pulau Pinang menyalurkan peruntukan bantuan khas tahunan berjumlah RM2.39 juta kepada sekolah Tamil, tadika sekolah Tamil, sekolah Punjabi dan Tabung Khas Jawatankuasa Sekolah Tamil sejak 2023.

Sementara itu, Chow berkata Bahasa Tamil merupakan warisan yang kaya dengan nilai budaya, sejarah serta tradisi yang telah bertahan ribuan tahun, justeru peranan guru-guru Bahasa Tamil perlu diperkasakan bagi memastikan warisan tersebut terus dihargai, dipelajari serta diwariskan kepada generasi akan datang.

Beliau berkata persidangan dua hari itu yang julung kali diadakan di negeri ini merupakan peluang untuk memperkasakan kurikulum, memupuk kecintaan dan langkah penting untuk memastikan bahasa tersebut terus relevan serta dihargai dalam masyarakat moden.

Pengerusi persidangan Dr. Ponnuduraj Marimuthu berkata program anjuran Pertubuhan Guru-Guru Bahasa Tamil Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) itu bertujuan melengkapkan para guru dengan pelbagai kemahiran mengajar seterusnya membina asas yang kukuh untuk pendidikan Bahasa Tamil.

“Ini bagi memastikan murid-murid sekolah mencapai kemahiran asas 3M (membaca, menulis, mengira) tanpa keperluan kelas peralihan pada masa depan. Kami berharap persidangan ini dapat meningkatkan potensi mereka dalam bidang pendidikan termasuk inovasi dan kajian tindakan,” katanya.

Sebanyak 500 peserta terdiri daripada guru SJKT, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Kebangsaan (SK) serta bakal guru menghadiri persidangan selain peserta dari luar negara seperti Singapura, Mauritius, New Zealand, India dan Sri Lanka yang mengikuti program secara dalam talian.

Pada persidangan itu, 56 guru membentangkan hasil kajian pendidikan manakala 28 peserta termasuk guru dan pelajar dari IPGM Kampus Tuanku Bainun mengambil bahagian dalam pertandingan inovasi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan