AM

Nahas KM204: Tun Mohd Ali Ziarah Keluarga, Mangsa

24/12/2024 04:07 PM

MELAKA, 24 Dis (Bernama) -- Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam meluangkan masa kira-kira satu jam setengah untuk bertemu ahli keluarga dan mangsa kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara di sini malam tadi.

Mohd Ali yang tiba di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka kira-kira 1.58 petang  disambut  Ahli Dewan Undangan Negeri Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan Pengarah Hospital Melaka Dr Shahrum Muzakir.

Dalam kejadian 8.45 malam tadi, tujuh maut manakala 33 cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran yang membawa 27 penumpang, dua lori, sebuah kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di KM204 Lebuhraya PLUS arah utara.

Mereka yang meninggal dunia ialah lima sekeluarga terdiri daripada pemandu MPV Khairul Ikhwan Mazupi, 32, bersama penumpang Fadzlenna Ramli, 32; Ramli Ab Wahab, 66, Fauziah Jaafar, 69, dan Muhammad Umar Khairul Ikhwan, 2.

Dua lagi yang maut ialah pemandu bas persiaran Noorisnien Khamid, 56 dan penumpang warga Singapura Lamrah Asid Ali, 66.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata siasatan awal mendapati bas persiaran tersebut terlanggar tayar lori yang tercabut di lorong tengah dan menyebabkannya hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan tiga kenderaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan