AM

Karnival Papar Bendera China Diarah Henti Serta Merta - MDT

27/12/2024 06:06 PM

TANGKAK, 27 Dis (Bernama) -- Karnival Fantasi Lampu LED yang diadakan di Dewan Serbaguna Bukit Gambir di sini telah diarahkan berhenti serta merta dan ditutup sepenuhnya.

Majlis Daerah Tangkak (MDT) menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan, siasatan mendapati penganjur tidak mematuhi syarat penganjuran karnival, khususnya tidak menjaga sensitiviti masyarakat.

“Pada Rabu lepas MDT telah menerima aduan penganjur mendirikan struktur berbentuk kapal angkasa ulang alik yang mempunyai pelekat bendera negara China di karnival berkenaan, sehingga menimbulkan kegelisahan masyarakat tempatan.

“Tindakan menurunkan struktur yang dimaksudkan telah dibuat dan satu notis arahan pemberhentian operasi serta merta telah dikeluarkan kepada penganjur semalam, selaras dengan Seksyen 14(1)(b) dan 49(2) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan Dan Perindustrian (Majlis Daerah Tangkak) 2017,” menurut kenyataan MDT hari ini.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa MDT menggalakkan aktiviti perniagaan, namun tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi syarat khususnya yang menimbulkan kegelisahan umum masyarakat tempatan.

Semalam, Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Roslan Mohd Talib dilapor berkata pihaknya telah menerima satu laporan berkaitan rasa tidak puas hati masyarakat berkenaan gambar replika roket tertera logo bendera negara China di festival berkenaan.

Sehubungan itu, beliau dipetik berkata siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan