AM

Melaka Rekod 1,972 Kes Denggi Dari Januari Hingga November

30/12/2024 01:20 PM

MELAKA, 30 Dis (Bernama) -- Melaka merekodkan 1,972 kes berkaitan denggi bagi tempoh 1 Jan hingga 16 Nov tahun ini, kata Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem.

Ngwe (BN-Machap Jaya) berkata ia membabitkan 1,241 kes yang didaftarkan di Melaka Tengah, Alor Gajah (214 kes) dan Jasin (517 kes), dengan dua kematian turut dicatatkan sepanjang tempoh itu.

Beliau berkata kerajaan negeri bersama-sama Jabatan Kesihatan Melaka sedang mempergiat lagi usaha pencegahan wabak denggi menerusi pelbagai program dan aktiviti.

“Antaranya Projek Pelepasan Nyamuk Aedes Berwolbachia di Taman Bemban Jaya, Jasin, Pangsapuri Taman Tasik Utama, dan terbaharu di Pangsapuri Sri Utama serta Perumahan Tentera Desa Taming Sari, Sungai Udang.

“Selain itu, menjalankan aktiviti kawalan bagi single case dan wabak serta aktiviti pencegahan denggi seperti aktiviti Pemusnahan Tempat Pembiakan (PTP), Larvacing, Semburan Ruang Termal (SRT) serta Ultra Low Volume (ULV),” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Datuk Zulkiflee Mohd Zin (BN-Taboh Naning) yang ingin tahu apa langkah menangani peningkatan kes denggi di Melaka.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan