AM

Kes Demam Denggi Meningkat, Dua Kematian Direkodkan

27/12/2024 07:34 PM

PUTRAJAYA, 27 Dis (Bernama) -- Jumlah kes demam denggi meningkat kepada 1,407 kes pada Minggu Epidemiologi ke-51 (ME51), iaitu bagi tempoh 15 hingga 21 Dis lepas berbanding 1,384 kes yang dilaporkan pada minggu sebelumnya.

Dalam kenyataan mengenai situasi demam denggi di Malaysia hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata dua kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada ME51.

Beliau berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga ME51 adalah sebanyak 121,082 kes berbanding 120,418 kes bagi tempoh sama pada 2023. 

“Terdapat 116 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 96 kematian bagi tempoh yang sama pada 2023,” katanya.

Dr Muhammad Radzi berkata bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada ME51 ialah 18 lokaliti berbanding 27 pada minggu sebelumnya.

Daripada 18 lokaliti dilaporkan katanya, sembilan adalah di Selangor, Negeri Sembilan (empat), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (tiga) manakala masing-masing satu di Pahang dan Pulau Pinang.

Beliau berkata pergerakan masyarakat yang meningkat bersempena dengan musim cuti kini juga akan menyebabkan penyebaran jangkitan denggi menjadi mudah, justeru sangat penting untuk memastikan kawasan persekitaran bebas daripada tempat pembiakan nyamuk.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan