AM

Penganut Hindu Di Malaysia Raikan Pesta Menuai, Pongal 14 Jan

11/01/2025 12:16 PM

Oleh N. Kuvineshwaren

KUALA LUMPUR, 11 Jan  (Bernama) -- Penganut Hindu di Malaysia akan meraikan pesta menuai, Pongal pada Selasa ini (14 Jan), perayaan untuk mengucapkan syukur atas hasil tuaian yang melimpah-ruah dan memohon kemakmuran.

Presiden Hindu Sangam T. Ganesan berkata perayaan itu kebetulan berlaku pada peralihan astronomi Dewa Matahari (Surya Bhagavan) dari Sagittarius (Dhanur Rashi) ke Capricorn (Makara Rashi), yang dikenali sebagai Makara Sankranti, satu peristiwa angkasa yang akan berlaku pada 3.11 petang waktu Malaysia pada hari yang sama.

“Tahun ini, Pongal jatuh pada tahun Krodhi, pada hari pertama bulan Thai mengikut kalendar Tamil (14 Jan). Susunan planet yang membawa tuah ini menambah kepada pengertian dari segi spiritual hari tersebut,” katanya kepada Bernama.

Beliau menambah, waktu yang baik untuk melaksanakan ritual Pongal di rumah adalah antara 7.30 pagi hingga 10.00 pagi, dan pada waktu petang antara 5.30 petang hingga 6.30 petang.

Thai Pongal,  perayaan kesyukuran yang diraikan dengan memasak hidangan tradisional dipanggil Pongal iaitu puding nasi manis dibuat daripada nasi yang baru dituai, susu, dan gula merah.

“Setiap keluarga akan menyediakan sajian Pongal dan berdoa kepad Dewa Matahari untuk kemakmuran selain menghias rumah mereka dengan rekaan menarik kolam (rangoli) dan bersama-sama meraikannya,” kata Ganesan. 

Presiden Hindu Dharma Maamandram A. Radhakrishnan berkata pesta Pongal berlangsung selama empat hari, yang setiap hari mempunyai makna budaya dan spiritual tersendiri.

Beliau berkata perayaan bermula dengan Bhogi, diraikan pada Isnin (13 Jan) iaitu hari terakhir bulan Margazhi mengikut kalendar Tamil. 

“Hari ini menandakan pembaharuan, dengan barangan lama dan yang tidak digunakan akan dibuang dalam unggun api yang diperbuat daripada ketul najis lembu dan kayu. Ia melambangkan pepatah Tamil pazhaiyana kalithalum puthiyana puguthalum yang bermaksud membuang yang lama dan menyambut yang baharu,” katanya.

Selain itu, Radhakrishnan berkata rumah dibersihkan dan dihias dengan barangan daripada alam semula jadi seperti tebu yang baru dituai, pokok kunyit, daun mangga, dan daun kelapa muda yang dianyam. Corak kolam yang rumit diukir di pintu masuk yang melambangkan kemakmuran dan kesejahteraan.

Hari kedua, Thai Pongal (14 Jan ) pula adalah puncak perayaan dan diraikan dengan menyediakan hidangan Pongal dalam periuk tanah liat yang baharu.

“Susu dibiarkan mendidih hingga melimpah sambil ahli keluarga menyebut ‘Pongalo Pongal’, simbol kepada limpahan kemakmuran. Pongal bermaksud melimpah-ruah. Ia adalah perayaan kehidupan dan kesyukuran kepada matahari, sumber tenaga dan kehidupan,” kata Radhakrishnan. 

Hari ketiga, Mattu Pongal (14 Jan) dikhususkan untuk menghormati lembu, yang dianggap suci dalam budaya India. 

“Lembu akan dimandikan, tanduk mereka dicat, dan dihias dengan kalungan bunga. Sumbangan dibuat, dan restu dimohon untuk anak-anak serta keluarga. Lembu dihormati kerana sumbangan haiwan itu dalam kehidupan, terutama di kawasan luar bandar apabila mata pencarian bergantung kepada ternakan itu,” katanya.

Di India, Mattu Pongal diraikan dalam skala besar dengan permainan dan aktiviti yang menonjolkan kepentingan ternakan dalam mata pencarian penduduk di luar bandar.

Hari terakhir, Kanni Pongal (16 Jan) mempunyai makna khas bagi wanita bujang, yang berdoa untuk masa depan lebih makmur dan pasangan hidup yang sesuai. Wanita ini akan menyediakan sajian Pongal dan mengenakan pakaian baharu dengan perhiasan emas dan perak.

Radhakrishnan berkata perayaan Pongal di Malaysia, walaupun lebih sederhana berbanding di India, ia telah berkembang dengan memberi tumpuan kepada inklusiviti.

“Hingga 1980-an, Pongal diraikan secara meluas di ladang di seluruh negara sama seperti di Tamil Nadu, India, kerana pekerja ladang menanam sayur-sayuran mereka sendiri dan memelihara lembu. Hari ini, tumpuan telah beralih kepada acara komuniti yang melibatkan pelbagai kumpulan termasuk golongan kurang upaya (OKU),” katanya.

Pertubuhan seperti Persatuan Orang Kurang Upaya Damai Malaysia kini bekerjasama dalam acara Pongal, dengan kuil dilengkapi kemudahan mesra OKU untuk menampung kehadiran mereka.

Di Sekinchan, Kuala Selangor, beberapa keluarga India yang masih memiliki sawah, memelihara warisan pertanian mereka seiring dengan Pongal.

Pongal bukan sekadar perayaan, ia adalah cerminan rasa syukur, keberuntungan, dan perpaduan,” kata Radhakrishnan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan