SUKAN

Impian Wakil Tunggal Negara Di Final Tidak Kesampaian

11/01/2025 11:54 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun berharap untuk menyelamatkan maruah kem badminton Malaysia dengan mara ke final Terbuka Malaysia 2025, namun impian itu berakhir dengan pilu hari ini.

Dengan dua lagi beregu campuran Malaysia – Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie – telah disingkirkan lebih awal pada separuh akhir hari ini, harapan negara banyak bergantung kepada Wei Chong-Kai Wun.

Namun, pasangan yang tidak tersenarai sebagai pilihan itu gagal memanfaatkan permulaan yang menjanjikan apabila berdepan dengan beregu China Chen Bo Yang-Liu Yi, walaupun mereka berjaya menang 26-24 dalam set pembukaan yang sengit pada separuh akhir di Axiata Arena Bukit Jalil di sini.

Momentum pasangan nombor 14 dunia itu terhenti pada set kedua apabila mereka berjuang untuk mengekalkan rentak permainan, membenarkan pasangan China tersebut menyamakan kedudukan 21-16 dan membawa perlawanan ke set penentuan.

Pada set penentuan, perlawanan menjadi sengit dengan kedua-dua pasangan terikat 10-10.

Namun, pasangan nombor 18 dunia, Bo Yang-Liu Yi, mempertingkatkan tempo permainan dan akhirnya menang 21-15 dalam perlawanan mendebarkan yang berlangsung selama 77 minit, meninggalkan penyokong tuan rumah kecewa.

Kai Wun berkata bahawa mereka telah memberikan yang terbaik tetapi malangnya tidak dapat mengekalkan kelebihan dalam set pertama terhadap lawan mereka.

“Kami dihidangkan dengan permulaan lebih mantap, namun dari situ kami gagal mengawal permainan,” katanya selepas perlawanan itu.

Walaupun kalah, pemain berusia 24 tahun itu berkata bahawa ini merupakan permulaan yang baik untuk musim ini selepas penampilan pertama mereka di separuh akhir Terbuka Malaysia.

Bo Yang-Liu Yi akan berdepan dalam perlawanan akhir menentang beregu Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae, yang mengejutkan pasangan pilihan ketujuh dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty  21-10, 21-15.

Pemain Malaysia terakhir yang berjaya melangkah ke final dan memenangi Terbuka Malaysia adalah legenda badminton Datuk Lee Chong Wei pada 2018, makala Goh V Shem dan Lim Khim Wah adalah beregu lelaki terakhir yang meraih kejayaan pada tahun 2014.

Dalam aksi beregu campuran awal tadi, pasangan pilihan ketiga, Tang Jie dan Ee Wei, tewas kepada pilihan pertama dari China, Feng Yan Zhe dan Huang Dong Ping,19-21, 14-21 sementara pasangan suami isteri, Soon Huat-Shevon tewas kepada pasangan baru Thailand, Dechapol Puavaranukroh dan Supissara Paewsampran 21-17, 12-21, 16-21.

– BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan