KUCHING, 11 Jan (Bernama) -- Pengamal perundangan profesional di negara ini digalakkan menjadi ahli Inns of Court Malaysia (ICM), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Bercakap pada Malam Gala ICM East Malaysia 2025 yang julung kali diadakan malam ini di sini, beliau berkata keahlian di bawah ICM akan memupuk persahabatan, muhibah dan kerjasama dalam profesion itu.
"Acara seperti malam ini (anjuran ICM) menyediakan satu platform penting bagi rangkaian, perkongsian ilmu dan pertukaran idea. Gabungan tradisi Inns yang kaya dengan kemeriahan budaya Malaysia memupuk kerjasama yang lebih mendalam dan persefahaman bersama dalam kumpulan persaudaraan perundangan.
"Interaksi yang bermakna ini bukan sahaja mengukuhkan profesion kami tetapi juga menjadi pemangkin kepada pembangunan negara dan kemajuan ekonomi yang mampan,” kata Fadillah yang juga bekas peguam bela di Sarawak.
Ditubuhkan secara rasmi pada 10 Nov 2016, ICM merupakan sebuah persatuan dianggotai hakim, hakim bersara, peguam, ahli perundangan, ahli akademik undang-undang, peguam korporat, pelajar dan profesional undang-undang lain dari semua peringkat dan latar belakang dengan misi untuk mencapai kecemerlangan bagi perundangan profesional.
Sementara itu, Fadillah berkata usaha ICM bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia dan kerjasama dengan institusi seperti Universiti Malaya (UM) menyediakan platform untuk pertukaran budaya dan dialog sekali gus memastikan bakal pengamal undang-undang menghargai kekayaan kepelbagaian Malaysia.
Beliau berkata pendidikan dan latihan adalah penting untuk memupuk perpaduan dan keterangkuman, melengkapkan profesional undang-undang dengan kemahiran dan kecekapan budaya yang diperlukan untuk berkhidmat kepada masyarakat berbilang budaya.
“Sarawak, terutamanya, cemerlang dalam memelihara dan mempertingkatkan nilai-nilai ini.
“Latihan berterusan mengenai topik seperti berat sebelah tanpa sedar, sensitiviti budaya dan komunikasi silang budaya adalah penting untuk pengamal di semua peringkat. Usaha ini meningkatkan kualiti perkhidmatan undang-undang dan memastikan ia disampaikan dengan profesionalisme dan integriti,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial