AM

KUSKOP Sasar Pertambahan Usahawan Wanita PMKS Tahun Ini

13/01/2025 11:32 PM

KOTA BHARU, 13 Jan (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan peningkatan usahawan wanita dalam sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) pada tahun ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) KUSKOP Noor Afifah Abdul Razak berkata sehingga kini terdapat 1.1 juta usahawan PMKS di seluruh negara yang terlibat dalam sektor pertanian, perkhidmatan, dan pembuatan.

Beliau berkata kerajaan komited memperkukuh sumbangan PMKS sebagai tulang belakang ekonomi negara dengan memberi tumpuan kepada penglibatan usahawan wanita selaras Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang menekankan kesaksamaan jantina.

“Pelbagai program telah dilaksanakan termasuk latihan keusahawanan, pembangunan kemahiran digital, serta akses kepada pembiayaan dan pasaran.

“Dasar Keusahawanan Nasional 2030 turut memberi peluang sama rata kepada wanita untuk menceburi bidang keusahawanan yang berpotensi besar sebagai kerjaya pilihan. Malah, sumbangan PMKS kepada ekonomi negara terus meningkat setiap tahun,” katanya selepas merasmikan Majlis Penganugerahan Tamat Latihan Usahawan Projek IDEAS di sini hari ini.

Mengulas mengenai Projek IDEAS, Noor Afifah berkata program itu ialah inisiatif ASEAN bersama Korea Selatan untuk meningkatkan kemahiran digital usahawan wanita PMKS.

“Hampir 3,000 usahawan wanita PMKS di ASEAN telah menyertai program ini termasuk 242 dari Malaysia. Program selama enam bulan ini memberi manfaat besar melalui latihan berstruktur,” katanya.

Beliau berkata Korea Selatan juga merancang membawa peserta projek menyertai ekspo keusahawanan di negara itu menjelang 2026.

“KUSKOP yakin Projek IDEAS mampu membantu lebih ramai usahawan wanita PMKS meluaskan potensi perniagaan mereka melalui aplikasi digital dan e-dagang dengan lebih berkesan.

“Kini, ramai usahawan menggunakan platform digital seperti Lazada, Shopee, TikTok, dan Instagram untuk menjangkau lebih ramai pelanggan,” katanya.

Beliau berkata peralihan kepada platform digital secara teratur mampu membantu usahawan menjangkau pelanggan bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di peringkat ASEAN.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan