AM

Kerabu Bronok, Latok Antara Hidangan Untuk Delegasi ASEAN Di Langkawi

14/01/2025 08:37 PM

PUTRAJAYA, 14 Jan (Bernama) -- Malaysia akan menonjolkan keunikan tersendiri sepanjang Kepengerusian ASEAN 2025 menerusi kepelbagaian makanan tempatan yang bakal disajikan kepada ribuan tetamu luar negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin berkata pada Permukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) di Langkawi Sabtu ini misalnya, kerabu bronok dan latok menjadi antara hidangan yang disediakan untuk lebih 200 delegasi asing yang terlibat.

"Di Laos tahun lepas, setiap kali ada mesyuarat atau majlis makan malam, akan ada rumpai sungai (riverweed) dari Sungai Mekong. 

"Jadi, saya harap produk tempatan di Langkawi dapat menarik minat pelawat dan tetamu kita," katanya pada sidang media berhubung Kepengerusian ASEAN 2025 di sini hari ini.

Kerabu bronok merupakan makanan eksotik di Langkawi yang menggunakan spesies timun laut Acaudina molpadioides manakala latok atau Caulerpa lentillifera ialah sejenis rumpai laut yang lazimnya dimakan sebagai salad atau ulam.

Selain itu, Amran berkata produk tempatan akan turut dipromosikan sepanjang Kepengerusian ASEAN 2025 bagi memberi peluang perniagaan kepada usahawan mikro, kecil dan sederhana.

"Sebilangan besar daripada produk berkenaan sudah dibeli sebagai sebahagian daripada hospitaliti Malaysia untuk tetamu yang datang melawat," katanya.

Bagi memastikan aspek kebersihan di lokaliti yang terlibat dalam penganjuran mesyuarat dan program berkaitan ASEAN, beliau berkata Wisma Putra akan mendapatkan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Permukiman Menteri Luar ASEAN yang bermula pada Sabtu ini di pulau peranginan Langkawi, secara rasmi menandakan permulaan siri mesyuarat ASEAN di bawah pengerusi Malaysia.

Malaysia akan menganjurkan lebih 350 mesyuarat dan program utama di seluruh negara sepanjang tahun ini di bawah tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan