IPOH, 18 Jan (Bernama) -- Seorang jurulatih selam di sini kerugian RM304,422 setelah terperdaya dengan pelaburan tidak wujud yang diiklankan di Facebook.
Pemangku Ketua Polis Perak DCP Zulkafli Sariaat berkata kejadian melibatkan wanita tempatan berusia 32 tahun itu bermula selepas dia bertindak menekan pautan pada iklan itu dan terus berhubung dengan suspek 11 Sept lepas.
Beliau berkata mangsa kemudian diberi penerangan mengenai pelaburan berkenaan yang menjanjikan keuntungan lumayan sehingga menyebabkannya berminat dengan tawaran itu.
"Mangsa terus berurusan melalui WhatsApp dengan suspek yang seterusnya mengarahkan mangsa memuat turun aplikasi 'AE Online' untuk memulakan pelaburan bagi membeli dan menjual saham berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Zulkafli berkata mangsa kemudian didorong melakukan 14 transaksi pindahan wang ke dalam dua akaun bank yang diberikan suspek secara berperingkat sehingga mencecah nilai RM304,422.
Beliau berkata siasatan awal mendapati terdapat pulangan RM7,960 dimasukkan ke akaun mangsa 15 Nov lepas, namun selepas itu suspek gagal dihubungi untuk pulangan berikutnya dan wanita itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh semalam.
"Sumber kewangan yang digunakan pengadu adalah hasil simpanan sendiri selain dipinjam daripada ahli keluarga dan rakan-rakannya," katanya dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial