JOHOR BAHRU, 19 Jan (Bernama) -- Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang pelancongan antara Malaysia dan Korea Selatan bakal membawa manfaat berpanjangan kepada kedua-dua negara, menurut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
MOTAC dalam kenyataan memakIumkan ia terutamanya dalam usaha meningkatkan pertukaran budaya, ketibaan pelancong dan pendapatan pelancongan serta menjana peluang ekonomi.
MoU itu juga sebagai usaha berterusan untuk memupuk kerjasama pelancongan yang lebih erat antara kedua-dua negara.
“Ia menggariskan komitmen bersama bagi meningkatkan persefahaman, pertukaran dan kerjasama dalam pelbagai aspek pelancongan.
“MoU itu menekankan kepada promosi dan pemasaran pelancongan, pembinaan kapasiti, perkongsian maklumat pelancongan dan amalan terbaik, meningkatkan pelancongan perniagaan (mesyuarat perniagaan, insentif, persidangan, dan pameran (MICE)) serta membangunkan pelancongan berasaskan komuniti dan ekopelancongan,” menurut kenyataan itu.
MoU sempena Forum Pelancongan ASEAN (ATF) 2025 yang diadakan malam tadi itu dimeterai oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing manakala Korea diwakili Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Yu Inchon.
Majlis disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang hadir bagi merasmikan forum berkenaan.
ATF 2025 yang bermula sejak 15 Jan hingga esok, bertujuan mempromosikan produk pelancongan serantau, memudahkan pertukaran pengetahuan serta mewujudkan jaringan dan meningkatkan kerjasama dengan pemimpin dalam industri pelancongan global bagi menambah jumlah pelancong mengunjungi ASEAN.
Ini kali kedua Malaysia menjadi tuan rumah ATF selepas yang pertama di Kuching, Sarawak pada 2014.
Penganjuran kali ini amat signifikan memandangkan Malaysia pada tahun ini menyandang jawatan Pengerusi ASEAN.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial