SEPANG, 19 Jan (Bernama) -- Polis giat menjalankan usaha mengesan lima sekeluarga, iaitu pasangan suami isteri dan tiga anak mereka yang dilaporkan hilang sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Norhizam Bahaman menerusi kenyataan hari ini berkata laporan kehilangan keluarga itu dibuat hari ini oleh adik kepada wanita berumur 37 tahun yang didakwa hilang bersama suami dan tiga kanak-kanak, iaitu dua lelaki dan seorang perempuan.
Menurut laporan, kesemua mereka telah keluar dari sebuah rumah di Persiaran Rimba Permai, Sepang dengan menaiki kenderaan jenis Perodua Alza WWT 8248 berwarna kelabu pada 11.30 malam, 17 Jan lepas.
"Pada 19 Jan, pengadu menerima satu rakaman video daripada kakak pengadu menyatakan beliau dan keluarga berada dalam keadaan selamat dan berada di satu lokasi kawasan perkhemahan yang tidak dinyatakan.
"Bagaimanapun, pihak polis masih dalam tindakan untuk mengesan kakak pengadu dan keluarga bagi siasatan lanjut," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai keberadaan lima sekeluarga itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Kamaruzaman Shamsuddin menerusi talian 03-83182222 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang 03-87774222.
Sebelum ini, tular dalam media sosial mengenai kehilangan mereka dengan pengguna Instagram hudaamirhamzah, adik kepada wanita berkenaan turut memuat naik perkembangan mengenai insiden berkenaan di laman sosialnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial