JASIN, 22 Jan (Bernama) -- Kerajaan negeri akan memperkenalkan Beras Melaka dalam usaha membangunkan semula industri sawah dan padi di negeri itu, sekali gus menampung pengeluaran beras negara dalam tempoh jangka panjang.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata perancangan tersebut, susulan kejayaan negeri Melaka menghasilkan benih padi MR 297, iaitu varieti padi hasil tinggi yang kini digunakan secara meluas khususnya di kawasan jelapang.
“Pengeluaran beras itu hasil daripada tuaian benih padi yang tidak boleh dijadikan benih dan kemudiannya diproses menjadi Beras Melaka.
“Jadi kita ambil tanggungjawab ini dengan bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk memasarkan Beras Melaka ini kepada orang Melaka,” katanya kepada pemberita selepas program jelajah mesra KetuadaMenteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh ke Projek Benih Padi negeri Melaka di Sawah Tengah Padang, Merlimau di sini hari ini.
Dr Muhamad Akmal berkata keutamaan pasaran beras tersebut adalah hanya di dalam negeri Melaka, memandangkan beras putih tempatan amat sukar diperolehi.
“Harga jualannya pula kita sasarkan sekitar RM26 bagi peket 10 kilogram dan dijangka beras tersebut akan mula berada di pasaran pada Februari nanti. Kita akan buat jualan sekurang-kurangnya satu daerah satu tempat mengikut stok yang ada secara datang terus dengan satu peket terhad kepada satu keluarga,” katanya.
Mengulas mengenai projek benih padi yang bermula pada September 2024 itu, Dr Muhamad Akmal berkata penuaian pertama varieti padi MR 297 yang melibatkan 18 pesawah tersebut dijangka bermula minggu ini, dengan jangkaan hasil sebanyak 189 tan di tanah seluas 42 hektar.
Beliau berkata dengan penghasilan benih di tanah berkeluasan 42 hektar tersebut, projek itu dilihat dapat menampung hampir separuh keperluan benih padi di seluruh negeri Melaka bagi satu musim penanaman yang berjumlah 180 tan.
“Misi mustahil ini telah berjaya dilaksanakan kerana dibuat di luar kawasan jelapang dan ia yang pertama kali dilakukan di Malaysia dan kita harap selepas ini, penghasilan benih padi berkenaan akan menyelesaikan masalah harga benih padi yang agak tinggi disebabkan orang tengah.
“Kita cuba jual dengan harga yang jauh lebih rendah dan ini diharap dapat membantu pesawah di Melaka, di samping melaksanakan misi kerajaan negeri untuk mengusaha dan mewartakan tanah-tanah sawah yang terbiar,” katanya.
Dr Muhamad Akmal berkata projek dengan peruntukan RM300,000 itu juga dilihat berada pada landasan tepat, apabila pelbagai teknologi terbaharu akan turut diguna pakai termasuk penggunaan dron dan jentera tuaian terkini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial