BERITA TERGEMPAR | Malaysia and ASEAN should continue to engage, attract investors from the United States, Europe and China without being forced to take sides -- PM Anwar | |
ALOR SETAR, 22 Jan (Bernama) -- Perkembangan projek Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Limau di Baling kini dalam proses penamatan khidmat kontraktor sedia ada susulan gagal melaksanakan tugas dalam tempoh ditetapkan.
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata setiap projek kerajaan mempunyai prosedur operasi standard (SOP) serta peraturan yang perlu dipatuhi menurut lunas undang-undang.
"Kita dah hantar proses penamatan (kontraktor) seperti dikehendaki oleh undang-undang dan peraturan. Apa-apa projek kerajaan ada SOP dan undang-undang yang perlu dipatuhi dalam proses perolehan.
"Dia (kontraktor) masuk tender terbuka dan dipilih dalam sistem tender terbuka, bukan dilantik oleh kerajaan … tetapi apabila dapat tender, ada masalah tertentu dan gagal siapkan (projek)," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir semalam yang mengatakan kementeriannya memandang serius perkembangan LRA Sungai Limau yang dipercayai tiada kemajuan sejak Julai tahun lepas.
Akmal Nasrullah berkata dalam lawatan kali ketiga ke tapak projek LRA itu semalam, pihaknya mendapati kesemua komponen yang perlu dibina masih belum disiapkan, walaupun projek berkenaan bermula pada 2021.
Muhammad Sanusi berkata bukan sahaja projek LRA berdepan dengan masalah kontraktor yang gagal menyiapkan kerja mengikut jadual, tetapi juga ada projek lain seperti pembinaan rancangan tebatan banjir pernah menghadapi masalah sama sebelum ini.
Bagaimanapun, katanya apabila kontraktor bermasalah, penamatan perkhidmatan mereka perlulah dibuat mengikut SOP memandangkan mereka dilantik mengikut undang-undang dalam tender terbuka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial