KUANTAN, 13 Feb (Bernama) -- Kerajaan Pahang memperuntukkan RM2 juta bagi menggerakkan Sekretariat Muafakat Felda Pahang dan RM500,000 lagi untuk melaksanakan Program Pembangunan Usahawan Generasi Felda melalui Program Usahawan Makmur pada tahun ini.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kedua-dua peruntukan itu diyakini dapat menggerakkan lebih banyak inisiatif bermanfaat kepada generasi Felda dalam pelbagai bidang khususnya ekonomi, pendidikan dan sosial.
"Sekretariat Muafakat Felda Pahang ini ditubuhkan dengan matlamat mengukuhkan hubungan antara kerajaan negeri dengan warga Felda serta menjadi platform menyuarakan hasrat mereka kepada kita untuk sama-sama bermuafakat dan menyelesaikannya.
"Dengan itu, saya percaya kita semua mampu menghadapi pelbagai cabaran dan merealisasikan impian membina sebuah komuniti Felda lebih dinamik serta sejahtera," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Konvensyen Sekretariat Muafakat Felda Pahang Tahun 2025 di Auditorium Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata selain peruntukan berkenaan, kerajaan Pahang melalui kerjasama Felda turut menawarkan 16,035 lot rumah kepada generasi baharu yang layak di seluruh negeri ini di bawah Projek Skim Tanah Rakyat Felda Pahang (STRFP).
"Kita sedang melaksanakan projek STRFP dan hingga 31 Dis tahun lepas, pihak Felda telah selesai menjalankan kerja ukur tanah yang melibatkan 63 rancangan Felda di seluruh negeri ini," katanya.
Mengulas berkaitan pengurusan hak milik peneroka pula, beliau berkata hingga kini sebanyak 96 peratus atau 41,286 daripada 43,126 peneroka Felda di seluruh Pahang telah pun menerima suratan hak milik tanah mereka.
"Sebanyak 96 peratus suratan pemberian hak milik sudah ditunaikan kepada peneroka, ada baki empat peratus lagi dan kita akan uruskan secepat mungkin," katanya.
Justeru, beliau meminta agar para peneroka sentiasa memberi sokongan kepada pihak kerajaan negeri kerana pelbagai program sedang dirancang untuk kesejahteraan mereka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial