AM

Suri Rumah Cekal Urus Tiga Anak OKU Hidap Penyakit Otot Lemah

19/02/2025 05:46 PM

PASIR MAS, 19 Feb (Bernama) -- "Kasih ibu sampai ke syurga", mungkin ungkapan paling tepat untuk menggambarkan pengorbanan seorang suri rumah, Nurul Amirah Mohamad Napi, 41, yang cekal menjaga tiga anaknya berstatus orang kurang upaya (OKU) dengan penuh kasih sayang.

Nurul Amirah, dari Kampung Gaung, Tendong di sini berkata dia reda dengan ketentuan Allah apabila ketiga-tiga anaknya itu disahkan menghidap penyakit atrofi otot spina atau “spinal muscular atrophy” (SMA), penyakit genetik yang menjadikan otot lemah secara progresif.

Dia berkata Nurul Amanda Safuan, 11, Mohamad Syahmi, 8, serta Nurul Ariana, 6, pada awalnya lahir secara normal dan menjalani kehidupan seperti anak-anak lain sebelum dikesan mempunyai simptom penyakit tersebut setelah usia setahun.

"Perubahan pada Nurul Amanda dan Mohamad Syahmi mula dikesan apabila sering terjatuh ketika ingin berdiri hingga mereka tidak mampu berjalan meskipun dah masuk umur hampir dua tahun.

"Dari situ saya bawa mereka jumpa doktor di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan doktor mengesahkan dua beradik ini menghidap SMA tahap dua .Situasi sama turut menimpa anak bungsu, Nurul Ariana yang tidak boleh berjalan sejak kecil," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gaung, Tendong di sini hari ini.

Bercerita mengenai kesukaran menguruskan anak OKU, Nurul Amirah berkata ia menuntut kekuatan tenaga kerana ketiga-tiga anak itu bergantung sepenuhnya kepada dia terutama ketika suami, Mohamad Safuan Abdullah, 40, keluar bekerja di kedai pemprosesan ayam segar.

"Rutin setiap pagi saya akan menyiapkan Nurul Amanda dan Mohamad Syahmi untuk pergi sekolah di Sekolah Kebangsaan Othman Thalib, selain menguruskan Nurul Ariana termasuk menyuapkan makanan dan membersihkan diri.

"Ia juga sedikit mencabar apabila saya serta suami perlu membawa mereka untuk janji temu dengan doktor pakar di HRPZ II. Kebiasaannya Nurul Amanda dan Nurul Ariana akan berkongsi satu kerusi roda manakala Mohamad Syahmi guna satu kerusi roda lain," katanya.

Selain itu, Nurul Amirah berkata cabaran dari segi kewangan juga tidak kurang peritnya kerana dia perlu memperuntukkan RM500 untuk lampin pakai buang bagi ketiga-tiga anaknya, tidak termasuk perbelanjaan lain sedangkan pendapatan suami hanya RM1,000 sebulan.

"Syukur kerana ketiga-tiga anak saya ini menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM200 untuk Nurul Ariana dan masing-masing RM150 bagi Nurul Amanda dan Mohamad Syahmi, yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga," katanya.

Nurul Amirah juga berbesar hati sekiranya ada mana-mana pihak yang ingin menghulurkan sumbangan dan boleh salurkan ke akaun Bank Islam bernombor 03027020890979 atas nama Nurul Amirah Mohamad Napi atau menghubunginya di talian 017-9595163.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan