ALOR GAJAH, 19 Feb (Bernama) -- Kerajaan negeri akan berkerjasama dengan empat pihak berkuasa tempatan (PBT) di Melaka dalam memperhebatkan program gotong-royong di kampung atau bandar bagi menghapuskan nyamuk Aedes.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata usaha itu selaras dengan komitmen berterusan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dalam memusnahkan tempat pembiakan yang boleh merisikokan penduduk.
"Pada operasi yang dijalankan sebelum ini, kita telah mengenal pasti kawasan yang menjadi tempat pembiakan nyamuk seperti di kebun dan tempat pembuangan sampah haram.
"Selain itu, ada individu yang melakukan aktiviti ternakan dengan menceroboh tanah rizab dalam kawasan taman selain mengumpul barangan lusuh dan sampah di laluan belakang taman perumahan," katanya kepada pemberita di Machap di sini hari ini.
Justeru, beliau berkata program gotong-royong dan pembersihan kawasan berkenaan perlu dilakukan dengan lebih agresif bersama pihak berkaitan dan PBT bagi memastikan tempat pembiakan dapat dihapuskan.
Mengulas lanjut, Ngwe berkata pada 13 dan 17 Feb lepas JKN Melaka juga telah melaksanakan operasi penguatkuasaan denggi di Taman Bertam Jaya, Kampung Tengkera dan Taman Siantan Seksyen 2 yang dikenal pasti lokasi panas berlaku wabak denggi.
Beliau berkata dalam operasi itu secara keseluruhan telah menemukan 10 tempat pembiakan luar, selain mengeluarkan dua notis pembersihan di bawah Seksyen 8 dan dua notis kacau ganggu oleh pihak Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah.
"Pada operasi penguatkuasan di Kampung Tengkera turut dilakukan aktiviti pelepasan ikan gupi sebagai kawalan biologi nyamuk Aedes di enam perigi yang dikenal pasti.
"Lokaliti ini berisiko tinggi untuk berlaku wabak demam denggi berulang kerana terdapat empat lokaliti lain yang berkongsi ekosistem yang sama," katanya.
Ngwe berkata hingga Minggu Epid 7/2025, sebanyak 230 kes denggi direkodkan di Melaka iaitu menurun sebanyak 143 kes berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata pelaksanaan program pemberian vaksin influenza kepada warga emas berumur 60 tahun ke atas secara percuma di Melaka yang bermula semalam mendapat sambutan amat menggalakkan.
“Secara keseluruhan 2,000 dos diperuntukkan di 34 Klinik Kesihatan di negeri ini dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang mempunyai penyakit kronik,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial