AM

KPJU Lancar Program Perkongsian Strategik Majukan Inovasi Penjagaan Kesihatan

21/02/2025 10:04 AM

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Universiti KPJ Healthcare (KPJU) secara rasmi melancarkan program perkongsian baharunya, mengukuhkan komitmen untuk memacu inovasi, pendidikan dan penyelidikan dalam sektor penjagaan kesihatan Malaysia.

Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) serta Pengerusi KPJU Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata inisiatif itu bertujuan meningkatkan kerjasama antara institusi akademik, penyedia penjagaan kesihatan dan pemain industri bagi memperbaiki penjagaan perubatan dan hasil rawatan.

"Visi kami jelas, untuk mengubah hospital menjadi pusat pembelajaran dan inovasi berterusan, mengintegrasikan pandangan yang dipacu penyelidikan ke dalam penjagaan pesakit dan membangunkan profesional penjagaan kesihatan yang memenuhi keperluan masa depan," katanya dalam ucapan pembukaan Majlis Pelancaran Partnerships for Impact: Advancing Healthcare through Education & Research, di sini semalam.

Majlis itu dirasmikan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan dihadiri Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Prof Dr Azlinda Azman, Canselor KPJU Prof Emerita Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabuddin, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad Chin Keat Chyuan serta rakan-rakan kongsi.

Sebagai sebahagian inisiatif itu, KPJ bekerjasama dengan TrustR, Arcadia Life Science dan Supergenic Life Sciences, yang berkongsi komitmen sama untuk menjadikan penyelidikan sebagai asas untuk penjagaan yang lebih baik, diagnosis lebih pantas dan harapan baharu untuk pesakit memerlukan.

"TrustR memanfaatkan teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk membangunkan pengukuran biomarker bukan invasif, menjadikan pengesanan awal lebih tepat dan boleh diakses. Sementara itu, Arcadia Life Science memberi tumpuan kepada pemeriksaan kanser bukan invasif, yang dapat mengubah strategi rawatan dan meningkatkan kadar kelangsungan hidup.

"Selain itu, Supergenic Life Sciences memajukan ujian klinikal terapi sel stem untuk pemulihan strok, membawa kita lebih dekat untuk memulihkan fungsi dan kualiti hidup bagi pesakit strok," katanya.

KPJ juga bekerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk memperkukuh kemampuan Malaysia dalam precision medicine dan pencegahan penyakit.

Program ini juga meliputi pembangunan kepimpinan, dengan KPJ melancarkan inisiatif pendidikan eksekutif baharu menerusi kerjasama Universiti Melbourne dan Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

"Program ini akan membekalkan eksekutif penjagaan kesihatan dengan kepakaran strategik dan operasi untuk mengemudi kerumitan penjagaan kesihatan moden," katanya.

Seiring pelancaran itu, KPJU juga memperkenalkan wajah baharunya, melambangkan pendekatan berfikiran ke hadapan dalam membentuk masa depan penjagaan kesihatan dan pendidikan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan