AM

Larian Lestari Machap Jaya 2025 Sasar 1,000 Peserta

19/02/2025 10:20 PM

ALOR GAJAH, 19 Feb (Bernama) -- Larian Lestari Machap Jaya 2025 sejauh 5.6 kilometer yang dijadualkan berlangsung pada Ahad ini menyasarkan penyertaan seramai 1,000 peserta. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem berkata setakat ini sasaran awal sebanyak 800 peserta berjaya dicapai dan berikutan sambutan menggalakkan sejumlah 200 penyertaan tambahan dibuka kepada yang berminat mendaftar pada saat akhir.

"Acara ini bukan sahaja mendapat penyertaan daripada rakyat Melaka malahan dari seluruh negara bagi menikmati keindahan pemandangan alam semula jadi sepanjang laluan larian itu.

“Lebih menarik peserta juga perlu melalui jalan berbukit dan memerlukan stamina yang kuat bagi menempuh cabaran berkenaan," katanya pada sidang media di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Machap Jaya di sini hari ini.

Mengulas mengenai kemudahan yang akan disediakan sepanjang acara itu, beliau berkata selain kawasan parkir di kawasan Felda Hutan Percha, pihak penganjur juga menyediakan 'shuttle' dan kenderaan pacuan empat roda bagi memudahkan pergerakan peserta larian.

"Peserta larian disarankan untuk datang seawal 5.30 pagi dan bagi peserta beragama Islam, mereka boleh menunaikan solat Subuh di Masjid Felda Hutan Percha sebelum larian bermula 7.30 pagi.

"Sepanjang acara itu juga dua laluan iaitu Jalan Tebong-Hutan Percha akan ditutup sepenuhnya bermula 6 pagi hingga 10 pagi manakala laluan utama Jalan Besar Felda Hutan Percha ke Tampin hanya ditutup sebahagian dalam tempoh yang sama," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan