PUTRAJAYA, 20 Feb (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah membuka satu kertas siasatan integriti terhadap seorang pegawai yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata JIM KLIA mengambil tindakan awal dengan menukarkan pegawai terbabit ke Depot Imigresen KLIA sementara siasatan integriti dilaksanakan.
“Bagaimanapun pegawai terbabit tidak hadir melaporkan diri ke tempat bertugas yang baharu sehingga kini.
“Proses siasatan integriti masih dilaksanakan oleh Bahagian Integriti JIM KLIA,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria turut mengesahkan laporan satu portal berita dalam talian berkaitan penemuan 12 keping pasport bersama pegawai imigresen di KLIA Terminal 2, adalah benar.
Beliau berkata pihak jabatan telah menemukan 12 keping pasport asing pada badan pegawai berkenaan di Pejabat Operasi KLIA Terminal 2 pada 1 Jan, dan laporan polis dibuat pada 7 Jan lepas dan diklasifikasikan sebagai tindakan jabatan.
“JIM tidak akan berkompromi dan melindungi mana-mana pegawai yang melakukan pelanggaran integriti yang mencemarkan nama baik dan imej jabatan.
“Tindakan dan hukuman akan diambil berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada termasuk tindakan buang kerja jika pegawai yang melakukan kesalahan terbukti bersalah,” katanya.
Beliau berkata JIM juga mengalu-alukan orang awam untuk melaporkan salah laku integriti pegawai imigresen melalui talian 03-880 1246 atau melalui e-mel aduanintegriti@imi.gov.my atau hadir sendiri ke Aras 4, Bahagian Integriti, Ibu Pejabat JIM Putrajaya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial