PUTRAJAYA, 23 Feb (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) dilihat sebagai satu pendekatan penting dalam mereplikasi pembangunan di bandar-bandar matang bagi memastikan perancangan bandar yang lebih mampan dan teratur.
Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Dr Alias Rameli berkata kekurangan tanah kosong di bandar utama seperti Kuala Lumpur menyebabkan pembangunan baharu terpaksa beralih ke kawasan pinggir bandar seperti Nilai, Kajang hingga ke Seremban.
"Keadaan ini menyebabkan pertumbuhan bandar yang tidak terkawal, atau 'urban sprawl', sekali gus menyumbang kepada peningkatan penggunaan kenderaan persendirian, pelepasan karbon serta memberi kesan kepada kualiti kehidupan penduduk di kawasan terbabit.
"RUU PSB bertujuan membangunkan semula kawasan bandar yang sedia ada agar lebih selesa untuk didiami dan membolehkan penduduk bekerja serta menggunakan pengangkutan awam seperti LRT dan MRT dengan lebih mudah," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata konsep pembaharuan semula bandar ini bukan sesuatu yang baharu kerana ia telah diterapkan di banyak negara termasuk Korea Selatan, China dan Poland, yang telah melaksanakan akta berkaitan.
Alias berkata terdapat dua pilihan dalam pembangunan bandar iaitu pembangunan semula dalam kawasan bandar (infill development) dan pembangunan di kawasan baharu (greenfield development), namun kekurangan tanah di ibu kota menjadikan pembangunan semula sebagai pilihan yang lebih realistik.
"Di Kuala Lumpur, untuk mencari tanah seluas tiga ekar ke atas adalah sukar, kecuali di kawasan seperti Bandar Malaysia yang mempunyai perancangan tersendiri.
"Kita tidak boleh mengambil pendekatan 'do nothing strategy' dengan membiarkan sesuatu kawasan tanpa pembangunan selama 30 atau 40 tahun. Sebaliknya, kita perlu merancang pembangunan yang lebih mampan, selesa dan memberikan manfaat kepada masyarakat sekitar," katanya.
Alias berkata pembangunan semula bandar bukan bertujuan menyusahkan pemilik tanah sedia ada, sebaliknya untuk meningkatkan nilai hartanah mereka serta menyediakan persekitaran yang lebih baik dengan kemudahan moden dan sistem pengangkutan yang lebih efisien.
"Jika dahulu sesuatu unit perumahan hanya bersaiz 400 kaki persegi, dengan pembangunan semula ia boleh diperbesarkan menjadi 800 kaki persegi, sekali gus meningkatkan keselesaan penghuni. Nilai hartanah juga meningkat, contohnya di kawasan sekitar Kampung Kerinchi, kadar sewaan boleh mencecah RM1,500 hingga RM2,000 sebulan," katanya.
Beliau berkata negara-negara jiran juga telah melakukan pembangunan semula bandar seperti di Jakarta, Bangkok dan Manila untuk memastikan kemajuan yang seiring dengan keperluan semasa.
Alias berkata sesi libat urus berkaitan RUU PSB telah melibatkan 74 sesi perbincangan bersama universiti, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi kerajaan serta pemaju bagi mendapatkan pandangan menyeluruh sebelum pelaksanaannya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial