AM

Kerajaan Komited Perkasa Ekonomi Usahawan India - Ramanan

02/03/2025 02:05 PM

BUTTERWORTH, 2 Mac (Bernama) -- Pemerkasaan ekonomi usahawan India merupakan komitmen berterusan kerajaan Persekutuan dengan RM300 juta diperuntukkan setakat Februari lepas bagi tahun ini, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan.

Beliau berkata jumlah itu merangkumi RM100 juta untuk Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), RM100 juta bagi Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) di bawah TEKUN Nasional dan RM100 juta diperuntukkan kepada BRIEF-i (Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i). 

"Dalam tempoh dua bulan sahaja, kita salurkan RM300 juta dan pihak kerajaan sedang mengusahakan beberapa lagi inisiatif baharu untuk membantu memajukan taraf sosioekonomi komuniti India.  

"Saya juga telah mengadakan perbincangan dengan beberapa agensi di bawah kementerian saya untuk tujuan berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas beliau merasmikan sesi pertemuan Vanakam MADANI bersama usahawan komuniti India Pulau Pinang anjuran TEKUN Nasional di sini Jumaat lepas.

Ramanan berkata inisiatif ini ialah bukti keprihatinan serta kesungguhan Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperkukuh ekonomi golongan usahawan yang selama ini telah memberikan sumbangan besar kepada pembangunan negara.

"Saya berharap para peserta yang menyertai sesi taklimat SPUMI & SPUMI Goes Big akan mengambil peluang untuk menyertai program ini demi memperkukuh lagi perniagaan masing-masing. 

"Pada masa yang sama, saya juga menyeru agar mereka menjadi duta yang menyebarkan maklumat ini kepada rakan-rakan usahawan lain, supaya lebih ramai dapat memanfaatkan peluang yang baik ini," katanya. 

Ramanan berkata pihaknya sentiasa memberi tumpuan utama terhadap inisiatif pemerkasaan ekonomi, khususnya untuk masyarakat India kerana kekuatan ekonomi mampu menjamin masa depan dan hala tuju masyarakat India di negara ini.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan