AM

Khaled Nordin Lawat Kapal Pengangkut Pesawat Tentera Laut Perancis CDG

02/03/2025 10:53 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini melakukan lawatan ke Kapal Pengangkut Pesawat Tentera Laut Perancis Charles de Gaulle (CDG) yang sedang melalui perairan negara di Laut China Selatan.

Mohamed Khaled menerusi catatan di laman media sosialnya berkata semasa lawatan itu, beliau diberikan taklimat terperinci mengenai kapal berkenaan dan operasinya oleh Komander Carrier Strike Group (CSG) Perancis Laksamana Muda Jacques Mallard.

“Kapal pengangkut pesawat itu adalah ‘center force’ bagi CSG Perancis dan daya Tentera Laut Perancis yang menggabungkan pelbagai sumber serta kekuatan di sekitarnya bagi membolehkan CDG menjalankan misi pelbagai,” katanya. 

Beliau berkata Kapal CDG menempatkan antara lain pesawat pejuang Rafale dan pesawat Hawkeye serta diiringi kapal-kapal pendamping seperti ‘destroyers’ dan ‘supply ship’ yang baru menamatkan latihan bersama negara rakan di rantau ini dan sedang mengadakan pertemuan melibatkan pelbagai negara.

“Ia juga antara usaha negara itu dalam memperkukuh hubungan dan kerjasama pertahanan di rantau ini, termasuklah dengan Malaysia,” katanya.

Turut sama dalam lawatan berkenaan ialah Panglima Angkatan Tentera Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali dan Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain. Turut hadir Duta Perancis ke Malaysia Axel Cruau.

Sementara itu, Kedutaan Perancis di Malaysia dalam kenyataan memaklumkan empat pesawat tempur Tentera Laut Perancis ‘Rafale’ CSG bersama enam jet pejuang dari Tentera Udara Diraja Malaysia masing-masing dua Sukhoi Su-30, F/A-18 Hornet dan Hawks menjalankan latihan tempur udara di perairan Pantai Timur, dekat Kuantan hari ini.

Kedutaan itu memaklumkan latihan berkenaan meningkatkan kebolehoperasian dan mengukuhkan mekanisme serta proses kerjasama ketenteraan.

“Latihan peringkat tinggi ini, dan interaksi yang dilakukan dengan rakan-rakan serantau, khususnya Malaysia mencerminkan komitmen Perancis untuk menggunakan aset ketenteraan dari tanah besar Perancis bagi menguatkuasakan undang-undang antarabangsa, mempertahankan kedaulatan dan melindungi akses bebas dan terbuka kepada umum,” katanya.

Kedutaan itu menegaskan bahawa Malaysia dan Perancis adalah rakan pertahanan lama, dan Perancis sangat menghargai kerjasama pertahanan dengan negara ini, yang diperkukuh menerusi pertemuan peringkat tinggi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan