JENAYAH & MAHKAMAH

Ismail Sabri Suspek Kes Rasuah, Pengubahan Wang Haram - Azam Baki

03/03/2025 02:40 PM

PUTRAJAYA, 3 Mac (Bernama) -- Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Tan Sri Azam Baki hari ini mengesahkan bahawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan suspek bagi siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram.

Beliau pada sidang media hari ini berkata pihak SPRM juga dijangka mengambil keterangan perdana menteri kesembilan itu sekali lagi berhubung kes berkenaan pada Rabu.

“Saya boleh katakan beliau (Ismail Sabri) adalah suspek dalam kes ini, ini kerana pertama Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009 telah diberikan kepada beliau untuk membuat pengisytiharaan harta.

“Kedua, bila terjumpa wang ini dan beliau antara yang dikaitkan, maka kita perlu mendapatkan penjelasan daripada beliau tentang penemuan wang ini,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Semalam, SPRM dilaporkan berkata Ismail Sabri sedang disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram dan fokus siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa beliau menerajui negara.

SPRM dilapor telah menyita wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa antaranya Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan, serta 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.

Setakat ini, Azam berkata SPRM telah merakam percakapan 31 individu serta membekukan 13 akaun bank bernilai kira-kira RM2 juta dengan kesemuanya akaun adalah sah dan aktif.

“Berhubung Ismail Sabri, kita tidak lagi bekukan akaun beliau manakala akaun (Yayasan Keluarga Malaysia) juga tidak dibekukan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya dijangka memanggil beberapa lagi saksi berhubung kes ini dan siasatan ini dibuat dengan terperinci.

Azam berkata kes itu disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

“Siasatan diteruskan berdasarkan maklumat terbaharu yang kita terima. SPRM ini bila kita siasat, normanya kita akan menyiasat dengan terperinci.

“Ia bukan sahaja setakat projek berkenaan, tetapi kepada siapa sahaja yang mendapat manfaat terutama sekali isunya ketika ini ialah rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Mengenai rampasan wang tunai dan jongkong emas, Azam berkata kesemua barangan itu ditemukan di sebuah kondominium dipercayai dijadikan sebagai safehouse dengan ia diletakkan dalam tiga peti besi.

“Ia sebuah kondominium yang disewa, kondominium itu disewa daripada seseorang,” katanya dan menambah kondominium itu mungkin diuruskan oleh seorang suspek dalam kes berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan