AM

RM22.28 Juta Disedia Bangunkan Infrastruktur Jelapang Padi Di Sabah

04/03/2025 02:40 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Sebanyak RM22.28 juta diperuntukkan bagi pembangunan infrastruktur di kawasan jelapang padi di Sabah pada tahun ini, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata jumlah itu sebahagian daripada RM216.98 juta disediakan kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi pembangunan kawasan padi di negeri berkenaan melibatkan sembilan perkara, antaranya pembinaan Saluran Sekunder (Jawi Jawi dan Tempasuk Utara) dan Kerja-Kerja Berkaitan Lain - Pakej 1c (1), IADA Kota Belud, Sabah berjumlah RM33 juta.

Ia turut melibatkan pakej 1c(4) - 1c(4c) - Pembekalan, Pemasangan Pam dan Kerja-Kerja Berkaitan Di Sungai Jepun, IADA Kota Belud berjumlah RM15.2 juta, dan Pakej 1c(5) - Peningkatan dan Pengubahsuaian Kawasan Marabau, IADA Kota Belud berjumlah RM37.5 juta.

“Selain itu, ia turut melibatkan Pakej 1d(1) - Peningkatan dan Kerja-Kerja Penambahbaikan Skim Pengairan Tempasuk Selatan, IADA Kota Belud bernilai RM29.9 juta serta Pakej 1e(1) dan 1e(2) - Kerja-Kerja Pembaikan dan Penambahbaikan Struktur Utama Piasau Dundau,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Senator Anna Bell @ Suzieana Perian yang ingin mengetahui berapa peruntukan akan diberikan bagi membangunkan jelapang padi di Sabah kerana kekurangan infrastruktur pengairan menjadi punca utama hasil padi rendah di negeri berkenaan.

Mohamad berkata dengan lengkapnya projek pembangunan itu, ia mampu menyediakan pengairan yang optimum kepada pesawah di Sabah meliputi ketersediaan air mencukupi, memastikan kelembapan tanah dan merangsang pertumbuhan pokok selain meningkatkan efisiensi penyerapan nutrisi.

“Bagi peruntukan dalam tempoh RMK13 pula, kementerian sedang meneliti keutamaan, keperluan dan ketersediaan pelaksanaan projek sebelum membuat permohonan bagi projek pembangunan padi di Sabah.

“Kelulusan ke atas permohonan projek untuk pelaksanaan pada 2026 hanya akan dimaklumkan oleh Kementerian Ekonomi selepas pembentangan Belanjawan 2026,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan