AM

Sektor Aeroangkasa Penting Kepada Ekonomi Tempatan Dan Negara - Lee Kim Shin

04/03/2025 03:42 PM

LUNDU (Sarawak), 4 Mac (Bernama) -- Sektor aeroangkasa memainkan peranan penting dalam ekonomi tempatan dan negara, kata Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin.

Beliau berkata sehubungan itu, melalui latihan bertaraf dunia ditawarkan oleh Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (Centexs) Lundu, ia mampu membantu dalam membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam industri penerbangan.

“Satu daripada sumbangan penting daripada program aeroangkasa Centexs Lundu adalah keupayaannya untuk menyokong secara langsung syarikat penerbangan tempatan seperti Air Borneo," katanya pada sidang media selepas melawat Akademi Aeroangkasa di sini hari ini.

Lee turut menggalakkan kerjasama lebih erat antara Centexs, Air Borneo dan pemain industri lain untuk memastikan latihan yang diberikan kekal relevan dengan keperluan sektor penerbangan yang semakin berkembang.

“Dengan berkerjasama, kita dapat menyediakan latihan yang memenuhi standard teknikal, operasi dan keselamatan industri yang amat penting kepada pertumbuhan domestik dan antarabangsa.

“Centexs Lundu menawarkan pelbagai program terbaik termasuk Sijil dalam Operasi Pemesinan Aeroangkasa, Sijil dalam Logam Lembaran Aeroangkasa dan Sijil dalam Kejuruteraan Penyelenggaraan Pesawat (Turbina Pesawat, Turbina Helikopter dan Avionik),” katanya.

Selain itu, beliau berkata program ini juga membekalkan pelajar dengan kemahiran penting dalam sektor angkasa lepas daripada pemesinan teknikal hingga penyelenggaran pesawat bagi memastikan mereka bersedia menghadapi cabaran dunia sebenar.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan