JENAYAH & MAHKAMAH

Tindakan Tegas Tanpa Kompromi Terhadap Penghasut Kaum Dan Agama - Fahmi

07/03/2025 08:27 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Semua badan penguatkuasaan dan agensi keselamatan diarahkan mengambil tindakan cepat, berkesan dan tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menghasut menggunakan isu perkauman atau agama.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata tindakan tegas itu diarahkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata selain isu berkenaan yang kini tular di media sosial, mesyuarat itu turut membincangkan dan meneliti pelbagai isu semasa yang lain.

“Semua pihak diingatkan untuk memelihara perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat, dengan memupuk persefahaman dan hormat-menghormati antara satu sama lain, serta sentiasa mematuhi undang-undang negara demi kesejahteraan bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri hari ini turut dilaporkan memberi amaran kepada pemimpin dan ahli politik agar tidak mempergunakan isu agama sebagai senjata politik demi kepentingan peribadi.

Bercakap kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Teras Jernang di Bangi hari ini, Anwar menegaskan bahawa amalan sedemikian jika tidak dihentikan, boleh membawa kepada perpecahan kaum.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan