FOKUS BERNAMA

Konflik Gajah-Manusia Akibatkan Lebih Daripada Kerugian Material - Mangsa

11/03/2025 09:50 AM

Konflik gajah dan manusia di negara ini berlaku sejak sekian lama. Di sebalik pelbagai usaha diambil oleh pihak berwajib dalam menangani masalah itu, sambil pada masa sama memastikan kepentingan gajah dan manusia terjaga, pertembungan manusia dengan “abang besar” ini masih berlaku dengan kerap. 

Bahagian kedua dalam laporan tiga artikel ini berkongsi naratif mereka yang terlibat secara langsung dalam konflik itu 

 

GERIK, 11 Mac (Bernama) -- Bagi kebanyakan kita, zoo menjadi destinasi yang dituju untuk melihat hidupan liar seperti gajah, namun buat penduduk kampung di sekitar daerah ini serta pengguna Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, kelibat haiwan darat terbesar itu merayau di tepi jalan atau memasuki kampung dan kebun, bukan lagi perkara asing.    

Individu yang pertama kali melihat haiwan liar ini di habitat asalnya mungkin berasa teruja bercampur takut, tetapi bagi penduduk dan pekebun, kehadiran “abang besar” itu turut bermakna ancaman kepada tanaman dan harta benda seperti yang dialami oleh mereka di Kampung Bandariang dan Kampung Perah, di sini.   

Kebanyakan mereka yang memiliki kebun getah di Kampung Tanjung Rimbun I dan II, pernah mengalami kerugian besar apabila ratusan anak pokok getah dimusnahkan oleh “sang belalai” yang menceroboh kebun mereka. 

Meskipun ada pampasan yang diberikan oleh kerajaan, jumlahnya tidak mencukupi bagi menampung modal yang “lebur”, menyebabkan ada antara mereka berputus asa dan enggan lagi mengusahakan kebun masing-masing. 

 

MUSIM BUAH MENGUNDANG GAJAH

Ketua Kampung Bandariang Ibrahim Che Wan, 62, berkata kebun yang diusahakannya di Kampung Tanjung Rimbun I dan II itu mula diganggu oleh gajah sejak dua tahun lepas.

“Mereka datang makan dan kemudian tumbangkan pokok. Setakat ini mereka belum ganggu rumah lagi, cuma musnahkan tanam-tanaman saja,” katanya ketika ditemui Bernama.

pic-2

Beliau yang mengusahakan kebun pisang dan getah, berkata gajah akan menceroboh kebun mengikut musim buah.

“Kalau musim dokong, dia akan kopak kulit batang dan tolak sehingga tumbang. Kalau tidak ada pokok dokong, dia akan ‘kacau’ pokok getah,” katanya.

Menurutnya, yang boleh dilakukan mereka cuma membuat aduan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan).

 “Apabila ada aduan, mereka (Perhilitan) akan datang dan tangkap. Setakat yang saya ingat (Oktober 2024), kalau tidak salah saya Perhilitan dah bawa keluar (pindahkan) 24 ekor dari Kampung Bandariang ini.

“RISDA (Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah) dengan Perhilitan ada buat pagar elektrik di kebun-kebun yang diganggu gajah. Mereka buat di kebun yang baru ditanam semula kerana yang sedemikianlah selalu diganggu gajah,” katanya

Menurut beliau, lazimnya pekebun dapat menanam 640 batang pokok getah di atas kawasan seluas 1.6 hektar, namun apabila gajah datang, lebih 500 batang pokok dimusnahkan oleh haiwan itu.

 

KELUHAN PENGUSAHA KEBUN

Pekebun kecil Muhammad Ghazali Nasia, 63, pula diburu rasa khuatir setiap kali menoreh di kebun getah seluas 1.6 hektar yang diusahakannya sejak 1995.

 "Saya tidak pernah terserempak dengan haiwan itu, tetapi rasa takut sebab tahun lepas kebun saya pernah diceroboh mereka. Saya tanam 780 batang pokok, mereka musnahkan lebih 500 batang. Bila dilaporkan kepada Perhilitan, saya diberi ganti rugi sekitar RM3,000, tapi tidak cukup menampung kehilangan pendapatan sebab hasil harian daripada pokok getah itu kira-kira RM100 sehari,” ujarnya.

pic-3

Muhammad Hisham Shamsuddin, 47, yang pernah mengusahakan dusun durian di Kampung Tanjung Rimbun II, kini tidak lagi mengambil tahu hal ehwal kebunnya selepas diceroboh oleh gajah pada tahun lepas.

“Saya beli tanah seluas 0.5 hektar bernilai kira-kira RM40,000 pada 2020. Kemudian saya tanam dengan 70 batang anak pokok durian musang king dan duri hitam. Selepas empat tahun, gajah mula datang, maka ‘selesai’ (musnah) kebun saya. Kini hanya tinggal empat ke lima batang pokok sahaja.

"Memang kerugian beratus ribu ringgit, sekali dengan baja, racun dan upah (pekerja). Kiranya duit simpanan saya yang telah dilaburkan habis begitu sahaja. Kalau ikutkan, saya dapat kutip hasil pada 2026,” kongsinya yang kini hanya menoreh getah.

Sementara itu, pemilik kebun getah di Kampung Tanjung Rimbun I, Hermy Hasan, 42, berkata gangguan gajah di kampung tersebut bermula pada  2015.

“Dulu datang musnahkan pokok kemudian mereka kembali ke hutan. Namun dalam tempoh 2019 hingga 2020, mereka musnahkan pokok kemudian ‘berkampung’ pula. Yang mana tanam semula memang sia-sia. Kita tanam dan tengok pokok membesar sampai umur lima tahun, dia datang dan tolak (tumbangkan) pokok, habis dua ekar. Begitu juga tanaman dusun.

"Jadi, kita harapkan penyelesaian tuntas,” katanya yang menanam 1,200 batang pokok getah pada 2016, namun kini hanya tinggal tidak sampai 200 batang.

"Buat masa setahun dua ini saya sudah tidak tanam apa-apa sebab tanam pun tidak berjaya seperti yang dilihat di kawasan ini,"  tambahnya tinggal di Kampung Perah.

Menurut seorang lagi pemilik kebun getah, Abdullah Abdul Latiff, 52, haiwan liar semakin “mengganas” sejak lima tahun lalu.

Beliau yang mengusahakan kebun getah sejak 1997, berkata daripada 3,000 batang pokok yang ditanamnya di atas kawasan seluas 3.27 hektar, kini berbaki 50 batang.

"Masih lagi usahakan kebun itu tetapi tidak bersungguh-sungguh seperti dulu. Kalau saya tidak menoreh getah di kebun orang lain, memang terjejas pendapatan,” katanya yang mengalami kerugian hampir RM60,000.

Tambahnya, beliau juga kerap terserempak dengan haiwan berkenaan.

"Kalau balik lewat pasti akan jumpa gajah. Akan tetapi setakat ini tiada insiden tidak diingini berlaku sebab kadang-kadang gajah apabila nampak kita, dia pun lari," katanya yang masuk ke kebunnya seawal 8 pagi dan pulang kira-kira 5 petang.

 

ORANG ASLI TURUT RESAH 

Perkampungan Orang Asli juga tidak terkecuali daripada serangan haiwan itu.

Menurut Tok Batin Kampung Orang Asli Cenawing di Bandariang, Abdul Rahman Hasan, 45, penduduk di kampungnya mengusahakan kebun getah sejak 2008, namun gajah hanya mula datang mengganggu kira-kira lima tahun lalu.

pic-4

"Sebelum ini saya ada 1,400 pokok getah, sekarang berbaki lebih 800 batang sahaja akibat gangguan gajah. Gajah suka makan kulit pokok getah kerana susunya manis, dia akan makan habis.

"Ada yang saya tebas dan tebang, kemudian tanam semula sendiri. Kalau ikutkan kerugian lebih kurang RM10,000 untuk saya sahaja. Jika untuk keseluruhan penduduk yang terjejas, kerugian kira-kira RM80,000,” katanya.

Menurutnya, beliau telah memohon bantuan RISDA , Jabatan Kemajuan Orang Asli dan kerajaan negeri bagi mendapatkan peruntukan memasang pagar elektrik di kawasan kebun mereka.

“Zaman dulu, apabila kita bakar kain lama (jadi obor), gajah akan lari, tetapi sekarang (tidak). Kami percaya gajah-gajah ini mungkin datang dari luar seperti Kelantan dan Pahang (yang tidak takut orang). Oleh sebab itulah sekarang bila terserempak dengan kita, dia (gajah) nak ikut,” katanya.

 

TIP JIKA BERTEMBUNG “ABANG BESAR”

Seorang pengguna JRTB Gerik-Jeli Roslan Hashim, 64, berkata beliau menggunakan laluan itu ke Pulau Banding untuk berniaga sejak 44 tahun lalu. 

“Sudah terbiasa terserempak dengan haiwan ini...selalunya dalam 7 pagi ke 9 pagi atau 5 petang ke atas.  Kalau dah terserempak kena berhentilah. Setakat ini kereta saya belum lagi diganggu tetapi pernah kena kejar,” katanya yang menetap di sini.

Menurutnya, beliau juga sudah boleh “membaca” bahasa tubuh gajah. 

pic-5

"Kalau dia (gajah) tegakkan telinga dan belalainya, maknanya dia sedang marah, tetapi jika belalai dan telinga digerakkan seperti biasa maka kenderaan seolah-olah dibenarkan lalu melepasi mereka," katanya.

Menurut Roslan, kebanyakan gajah yang berada di sekitar JRTB Gerik-Jeli juga sebenarnya tidak mengganggu pengguna laluan itu.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan