GEORGE TOWN, 11 Mac (Bernama) -- Seorang nelayan tempatan yang dipercayai terjatuh ke dalam laut di perairan berdekatan Pulau Tikus, di sini, semalam ditemukan meninggal dunia pagi ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata mayat lelaki berusia 59 tahun itu ditemukan pada 11.15 pagi oleh pasukan Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT), pada kedudukan 2.9 batu nautika di utara Tanjung Bungah.
Beliau berkata kejadian dilaporkan kepada polis pada 10.30 pagi semalam oleh seorang nelayan tempatan yang memberitahu rakannya dipercayai terjatuh ke dalam laut di perairan berdekatan Pulau Tikus.
“Mangsa dilihat keluar ke laut bersendirian menggunakan sampan sekitar 7 pagi sebelum dikatakan terjatuh ke dalam laut.
“Ketika ditemukan, mangsa berpakaian baju sejuk hitam berjalur merah dan berseluar sukan hitam. Pemeriksaan pada tubuh mangsa mendapati tiada kesan unsur jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan penemuan itu, Abdul Rozak berkata operasi CARILAMAT ditamatkan pada 12.20 tengah hari, manakala waris telah membuat pengecaman sebelum mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial