KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta Kedutaan Malaysia di Itali untuk mengambil tindakan segera membantu seorang rakyat negara ini iaitu Dalila Zaidi yang terkandas di Milan selepas pasportnya dicuri.
Anwar berkata beliau juga telah memaklumkan perkara itu kepada Kementerian Luar untuk memastikan tindakan sewajarnya diambil.
Beliau berkata demikian menerusi ciapan balas kepada seorang pengguna di aplikasi X dikenali sebagai @daalilaz yang meminta pertolongan untuk menyelesaikan isu dihadapinya susulan kehilangan pasport akibat dicuri sewaktu berada di Milan.
"Salam PMX @anwaribrahim, my name is Dalila Zaidi and I’m a Malaysian currently stranded in Milan after my passport was stolen in the afternoon yesterday, 30 June 2025 near Santa Sofia station...I truly appreciate your attention to this," katanya.
Ciapan itu mendakwa Dalila sudah berusaha mendapatkan Sijil Perjalanan Kecemasan daripada Kedutaan Besar Malaysia di Rom namun dimaklumkan urusan terbabit tidak dapat dilaksanakan susulan ketiadaan pegawai untuk menandatangani dokumen yang diperlukan.
Menurutnya, ketiadaan pegawai bagi menguruskan permohonan itu juga difahamkan berkait dengan lawatan rasmi Perdana Menteri ke Itali bermula hari ini.
Terdahulu, pesawat khas yang membawa Perdana Menteri serta delegasi beliau ke Itali berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 2.15 petang dan Wisma Putra memaklumkan lawatan dari 1 hingga 3 Julai itu adalah atas undangan rakan sejawat Anwar iaitu Giorgia Meloni.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial