Oleh Noraizura Ahmad
NARATHIWAT, 2 Julai (Bernama) -- Pembinaan jambatan kedua menghubungkan Rantau Panjang, Kelantan dengan Sungai Golok di sini berjalan mengikut perancangan, dengan pihak Thailand kini dalam proses pemilihan kontraktor.
Penolong Pegawai Bahagian Lebuhraya Sungai Golok Teetuch Mad-adum berkata pemilihan kontraktor dijangka selesai selewat-lewatnya September ini, selaras dengan jadual dipersetujui Malaysia dan Thailand.
“Kami yakin kontraktor sewajarnya dapat dikenal pasti menjelang September dengan perancangan awal melibatkan 10 syarikat,” katanya kepada Bernama di sini semalam.
Pembinaan pula dijangka bermula seawal September selepas pemilihan kontraktor atau selewat-lewatnya Disember ini, dengan jangkaan siap dalam tempoh 36 bulan.
Teetuch berkata jambatan enam lorong yang dibina selari dengan Jambatan Muhibbah sedia ada, akan memberi impak besar kepada pembangunan ekonomi tempatan serta mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia dan Thailand.
“Selepas jambatan baharu siap, ekonomi akan meningkat apabila jalan keluar masuk menjadi lebih mudah. Sudah pasti ia juga memberi kesan terhadap pangkalan haram (di Sungai Golok) apabila jambatan ini siap nanti.
“Jambatan ini dibina khusus untuk meningkatkan ekonomi dan semuanya berjalan lancar tanpa sebarang halangan,” katanya.
Mengenai pembiayaan, Teetuch berkata kedua-dua negara berkongsi kos pembinaan dengan peruntukan RM17 juta daripada Malaysia dan RM32 juta oleh Thailand, termasuk kerja penambahbaikan infrastruktur berkaitan.
Sebelum ini Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan projek itu melibatkan pembinaan jambatan baharu sepanjang 117.3 meter selari dengan struktur sedia ada serta kerja menaik taraf jambatan asal.
April lepas, media melaporkan bahawa Kabinet Thailand telah meluluskan pembinaan jambatan kedua yang merentasi Sungai Golok di sini dengan Rantau Panjang, Kelantan.
Usaha pembinaan jambatan itu dianggap langkah penting memperkukuh hubungan serantau, memudahkan pergerakan rentas sempadan serta menyokong integrasi ekonomi ASEAN.
Thailand merupakan rakan perdagangan ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN.
Pada 2024, nilai dagangan dua hala mencecah USD25.03 bilion (RM114.56 bilion), manakala bagi tempoh Januari hingga Februari 2025, perdagangan dua hala mencatatkan peningkatan kepada USD3.96 bilion (RM17.65 bilion) berbanding USD3.67 bilion (RM16.80 bilion) dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial