AM

PM Anwar Bertemu Komuniti Islam Rom

02/07/2025 10:24 PM

Daripada Arul Rajoo Durar Raj

ROM, 2 Julai (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkesempatan bertemu komuniti Islam di sini.

Perdana Menteri yang kini dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Itali, bertemu Naib Presiden Persatuan Komuniti Islam Itali (COREIS) Imam Yahya Pallavicini dan Setiausaha Agung Pusat Kebudayaan Islam Itali – Masjid Besar Rom Abdellah Redouane.

Beliau berkata pertemuan itu, memberi ruang untuk mereka berbincang dan bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh pembangunan ummah, termasuk menangani isu Islamofobia secara bijaksana dan berhemah.

“Saya tekankan komitmen Malaysia dalam memartabatkan Islam yang menekankan nilai kesederhanaan, toleransi dan keharmonian menerusi pendidikan, dakwah serta kerjasama antarabangsa dengan komuniti Islam di Itali,” katanya selepas pertemuan itu.

Sebagai tanda ukhuwah, Anwar turut menyampaikan sumbangan kepada komuniti Islam di Rom serta menyerahkan senaskhah al-Quran edisi khas, selain 10 lagi naskhah terjemahan dalam bahasa Itali sebagai simbol persaudaraan dan penyebaran ilmu.

Itali mempunyai kira kira 2.7 juta penduduk beragama Islam.

Sementara itu, Anwar menzahirkan rasa terharu beliau dengan penterjemah Andrea Fais dan penerbit Stefano Bonilauri yang memilih untuk menterjemah karya “The Asian Renaissance” ke dalam bahasa Itali.

“Karya ini, yang diterbitkan lebih dua dekad lepas, menggariskan gagasan besar mengenai kebangkitan semula tamadun Asia melalui nilai-nilai ilmu, budaya, keterbukaan dan keadilan, sebagai tindak balas terhadap ketidakseimbangan global dan dominasi wacana barat.

“Saya amat menghargai dedikasi sarjana Itali dalam menterjemahkan karya ini, yang membolehkan idea-idea besar tentang demokrasi dan pembangunan berteraskan nilai dapat dikongsi dan difahami lebih meluas oleh khalayak antarabangsa,” kata Perdana Menteri.

Anwar berkata usaha itu bukan sekadar kerja penterjemahan, tetapi merupakan jambatan pemikiran dan idea merapatkan jurang kefahaman timur dan barat, terutama dalam lanskap dunia yang berpecah belah. 

“Moga karya ini terus menjadi sumber inspirasi dalam usaha kita memperjuangkan kebangkitan semula nilai-nilai kemanusiaan, ilmu dan keadilan sejagat,” kata beliau.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan