DUNIA

Pengarah Hospital Indonesia Di Gaza, Keluarga Maut Dalam Serangan Udara Israel

03/07/2025 12:28 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 3 Julai (Bernama) -- Pengarah Hospital Indonesia di Gaza, Dr Marwan Al-Sultan terkorban bersama ahli keluarganya dalam satu serangan Israel yang membedil kediaman mereka di Tal al-Hawa, barat daya Bandar Gaza pada Rabu, menurut sebuah pertubuhan kemanusiaan Indonesia.

Medical Emergency Rescue Committee (MER‑C), sebuah pertubuhan bukan kerajaan berpangkalan di Jakarta yang mengendalikan hospital berkenaan mengesahkan pemergian Dr Marwan berdasarkan maklumat daripada pasukan tempatan mereka di Gaza.

"Dengan rasa dukacita yang mendalam, kami mengumumkan pemergian Dr Marwan dan ahli keluarganya akibat serangan udara yang mengenai kediaman mereka," kata seorang sukarelawan MER‑C di Gaza.

Sekurang-kurangnya sembilan rakyat Palestin terbunuh dalam serangan itu manakala beberapa yang lain cedera, menurut kenyataan organisasi berkenaan.

Dr Marwan, seorang warga Palestin digambarkan sebagai "tokoh perubatan yang amat berdedikasi" yang telah lama berkhidmat untuk rakyat Gaza, khususnya ketika krisis berulang dan konflik bersenjata.

“Pemergiannya merupakan kehilangan besar bukan sahaja kepada rakan-rakan sejawat, tetapi juga kepada para pesakit serta masyarakat Gaza yang mengenalinya. 

"Semoga beliau dan keluarganya dikurniakan tempat terbaik di akhirat,” menurut MER‑C.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza mengecam tindakan yang disifatkan sebagai “jenayah keji” terhadap petugas kesihatan.

“Setiap serangan ke atas petugas perubatan dan kemanusiaan membuktikan pendekatan berdarah dan niat jahat yang disengajakan untuk menyasarkan mereka secara langsung,” menurut kenyataan kementerian itu.

Kerajaan Indonesia turut menyampaikan ucapan takziah dan kecaman terhadap serangan itu.

“Indonesia merakamkan ucapan takziah atas pemergian Dr Marwan dan keluarganya pada 2 Julai, serta mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel,” menurut hantaran Kementerian Luar di platform X.

Dalam kenyataan itu, Dr Marwan dikenang atas “khidmat, komitmen dan perjuangan atas nama kemanusiaan dan keamanan di Palestin”, selain menegaskan bahawa Indonesia akan terus memantau keadaan semasa Hospital Indonesia.

Indonesia sekali lagi menggesa agar gencatan senjata dilaksanakan serta-merta dan penamatan apa yang digambarkan sebagai “kekejaman Israel”.

Hospital Indonesia yang terletak di utara Gaza dan dibiayai oleh masyarakat sivil Indonesia menyediakan perkhidmatan rawatan kritikal sejak 2016, dan Dr Marwan memainkan peranan penting dalam memastikan ia terus beroperasi di tengah-tengah konflik yang berterusan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan