AM

Wartawan Perlu Pertahankan Nilai Kemanusiaan Di Sebalik Kemajuan AI - Abdullah

03/07/2025 07:12 PM

KUCHING, 3 Julai (Bernama) -- Wartawan perlu terus memperjuangkan elemen kemanusiaan dalam karya mereka, terutamanya pada era yang semakin didominasi kecerdasan buatan (AI) dan kemajuan digital.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata walaupun teknologi berkembang dengan pesat, ia tidak mampu memahami sepenuhnya emosi, nilai dan empati manusia.

"Cerita-cerita yang penuh nilai kemanusiaan. Saya rasa perkara ini mungkin tenggelam dalam kekalutan dunia, maka wartawan, penulis, inilah yang perlu anda pertahankan … iaitu kemanusiaan," katanya pada majlis penutup Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2025 di sini hari ini.

Beliau berkata teknologi baharu tidak seharusnya diterima sebagai "penggunaan yang baik" apabila isu asas masih belum difahami dengan jelas.

"Kita tidak mahu ketinggalan, tetapi kita juga tidak mahu terlalu cepat menerima (teknologi baharu). Kadangkala kita terlalu pantas mengguna pakai teknologi terkini, sedangkan perkara asas masih belum ditangani sepenuhnya," katanya.

Sambil menghargai penglibatan aktif penceramah dan peserta, Abdullah yang juga Pengerusi Penganjur SMeC 2025 berkata antara perkara penting yang boleh dibincangkan dengan lebih lanjut ialah mengenai kesan kewangan penggunaan teknologi AI terhadap pengamal media dan kerajaan.

"Mungkin, pada seminar akan datang, kita boleh menjemput individu yang pernah melakukannya, untuk mengetahui kos bagi rakyat biasa, kerajaan, bagi menerima kemajuan digital masa depan yang sangat pantas – setiap hari, setiap bulan, hampir setiap tahun – kita melihat perkara baharu," katanya.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan persidangan dua hari yang bertemakan "Kecerdasan Buatan: Membentuk Masa Depan Media dan Kewartawanan", menampilkan tujuh penceramah dari Amerika Syarikat, Indonesia, Singapura dan Malaysia.

SMeC 2025 diadakan bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) peringkat negeri dan dianjurkan bersama Unit Komunikasi Awam (UKAS) dan Angkatan Zaman Mansang (AZAM), sebuah badan bukan kerajaan pembangunan komunikasi berpangkalan di Sarawak.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan