Oleh Noraizura Ahmad
PATTANI, 5 Julai (Bernama) -- Dalam tempoh tiga tahun menerajui wilayah bergolak ini sebagai Gabenor wanita Melayu Islam pertama, Pateemoh Sadeeyamu terus mengukir sejarah dan menjadi lambang keterbukaan kerajaan Thailand terhadap peranan wanita dalam kepimpinan.
Dilantik pada November 2022, Pateemoh, 59, bukan sahaja membawa harapan baharu buat penduduk Pattani, malah memperjuangkan pelbagai agenda sosial termasuk pendidikan, ekonomi keluarga dan kebajikan wanita – golongan yang menurutnya menjadi tunjang perubahan komuniti.
Anak jati Pattani ini mewujudkan Pusat Pembangunan Wanita dua tahun lalu sebagai usaha memperkasa kaum hawa – tanpa mengira agama dan bangsa – melalui latihan kemahiran, program keusahawanan dan sokongan komuniti.
Pusat itu menjadi medan wanita setempat menimba ilmu, menjalin rangkaian perniagaan dan membina keyakinan diri untuk berdikari serta menyumbang kepada pembangunan keluarga dan masyarakat.
“Saya percaya, bagi memperkemaskan generasi baharu, kita perlu memperkukuh generasi masa kini, terutamanya wanita,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama baru-baru ini.
Bagi memperkukuh usaha itu, Pateemoh kini dalam proses menyiapkan sebuah buku panduan pembangunan wanita, dengan kerjasama 15 individu termasuk ahli akademik, NGO, penjawat awam dan belia tempatan.
Di bawah kepimpinannya, lebih 30 kumpulan wanita kini aktif menghasilkan batik bermotifkan budaya Pattani – yang bukan sahaja mendapat permintaan tinggi, malah menjana pendapatan mencecah 35 juta baht (RM4.6 juta) setahun.
“Daripada lebih 700,000 penduduk di Pattani, lebih separuh adalah wanita, dan majoriti pengusaha kecil serta peniaga tempatan juga terdiri daripada golongan ini,” katanya.
Menurut Pateemoh, memperkasa wanita bukan sekadar membina ekonomi tetapi juga jalan keluar daripada kemiskinan dan kitaran ketidaksamaan yang membelenggu sesetengah komuniti.
Mengulas mengenai generasi muda, beliau berkata keyakinan terhadap keselamatan dan kestabilan di wilayah selatan perlu terus diperkukuh agar lebih ramai belia kekal di kampung halaman dan tidak berhijrah ke ibu kota atau wilayah lain untuk mencari peluang pekerjaan.
“Kita mahu produk dari Pattani seperti nasi kerabu, nasi dagang dan ayam golek dikenali seperti mana tom yam sinonim dengan Thailand,” katanya, sambil menegaskan potensi produk tempatan dalam memacu ekonomi dan pelancongan wilayah.
Dengan tempoh setahun lagi sebelum bersara, Pateemoh berhasrat memperluaskan lagi peluang pembangunan wanita, khususnya di luar bandar supaya tiada siapa yang tercicir dalam arus kemajuan.
“Saya percaya keamanan hanya boleh dikecapi apabila wanita diberi ruang untuk berkembang – dalam keluarga, masyarakat dan pekerjaan,” katanya.
Pateemoh mendapat pendidikan menengah di Prince of Songkhla University Demonstration School (SATHIC School), Pattani sebelum melanjutkan pengajian di Prince of Songkhla University, kampus Pattani.
Beliau pernah menyandang jawatan Timbalan Gabenor di tiga wilayah iaitu Phatthalung, Narathiwat dan Yala serta pernah berkhidmat di Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC), agensi kerajaan yang menyelaras pentadbiran wilayah sempadan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial