AM

JBPM Sasar Wujudkan 38 CFLC Dalam Tempoh Tiga Tahun

06/07/2025 01:53 PM

PUTRAJAYA, 6 Julai (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyasarkan untuk mewujudkan sebanyak 38 Pusat Pembelajaran Kebombaan Komuniti (CFLC – Community Fire Learning Centre) baharu dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata setakat ini tujuh CFLC telah beroperasi di beberapa lokasi, iaitu di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur, Ibu Pejabat JBPM Johor, BBP Kuantan, Pahang, BBP Ayer Keroh, Melaka, BBP Presint 14, Putrajaya, BBP Batu Lintang dan BBP Serian di Sarawak.

“Penubuhan CFLC ini merupakan satu transformasi peranan balai bomba yang bukan hanya bertindak sebagai pusat operasi kecemasan, tetapi turut berfungsi sebagai pusat pembelajaran masyarakat dalam aspek keselamatan kebombaan dan penyelamatan.

“Ia memberikan peluang kepada komuniti untuk hadir ke balai bomba serta mendapatkan pendedahan dan maklumat berkaitan keselamatan, khususnya dalam aspek pencegahan kebakaran,” katanya kepada media selepas merasmikan CFLC di BBP Presint 14, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PJH) Datuk Izwan Hasli Mohd Ibrahim.

Menurut Nor Hisham, pelbagai modul interaktif akan dilaksanakan di semua CFLC, termasuk demonstrasi pemadaman api, penggunaan alat penyelamatan serta latihan tindakan kecemasan secara praktikal.

“Program seperti ini penting bagi menyemai budaya keselamatan sebagai tanggungjawab bersama, bukan hanya terletak pada bahu pihak bomba.

“CFLC juga akan berperanan sebagai pusat pendidikan yang inklusif dan mesra masyarakat, berasaskan pengalaman sebenar serta pendekatan pembelajaran yang menyeronokkan, khususnya untuk kanak-kanak dan pembelajaran di luar bilik darjah,” katanya.

CFLC merupakan inisiatif proaktif JBPM yang bertujuan merapatkan hubungan jabatan dengan masyarakat melalui pendekatan pendidikan keselamatan kebakaran secara sistematik.

Ia juga merupakan sebahagian daripada usaha JBPM untuk memperkukuh peranan balai bomba bukan sahaja sebagai pusat tindak balas kecemasan, tetapi juga sebagai pusat pembelajaran komuniti yang mesra rakyat.

CFLC memainkan peranan penting dalam memberi pendedahan awal kepada masyarakat, terutamanya pelajar dan golongan muda, tentang langkah-langkah keselamatan, pencegahan kebakaran serta tindakan yang perlu diambil semasa kecemasan.

Penubuhan CFLC di BBP Presint 14 ini merupakan hasil kerjasama antara JBPM dan PJH, dengan matlamat menjadikan kesejahteraan komuniti sebagai keutamaan utama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan