SEMPORNA, 6 Julai (Bernama) -- Sektor pelancongan Sabah menjana pendapatan sebanyak RM3.3 juta selepas menerima sekitar 1.44 juta ketibaan pelawat dari Januari hingga Mei tahun ini, satu petanda positif bahawa industri pelancongan negeri itu berada pada landasan pemulihan yang kukuh.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai berkata peningkatan konsisten ketibaan pelawat, terutamanya dari pasaran antarabangsa, berkait rapat dengan tahap keselamatan yang tinggi di negeri itu, hasil kerjasama dan kawalan rapi oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom).
Beliau berkata Sabah tidak mencatat sebarang insiden penculikan untuk wang tebusan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus menggambarkan komitmen ESSCom dalam menjaga keselamatan perairan dan komuniti setempat.
“Ini melengkapi usaha berterusan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) untuk menjenamakan Sabah sebagai destinasi yang selamat dan mesra pelawat,” katanya dalam kenyataan selepas mengiringi Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan delegasi asing melawat Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) semalam.
Joniston yang juga Pengerusi STB berkata, menurut data terbaharu STB, jumlah ketibaan pelancong antarabangsa ialah 559,150 orang, manakala pelancong domestik mencatat 879,420 ketibaan.
China kekal sebagai penyumbang utama ketibaan antarabangsa dengan 243,688 pelawat, diikuti Korea Selatan (76,685).
Beliau turut memaklumkan peningkatan ketara dalam jumlah pelancong dari Eropah, yang merekodkan 35,240 ketibaan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini — meningkat 25.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Pasaran Eropah utama termasuk United Kingdom dan Ireland (13,910 ketibaan), diikuti Jerman (3,854) dan Perancis (2,750). Sementara itu, Amerika Syarikat mencatat 9,356 ketibaan, manakala Kanada merekodkan 2,949 ketibaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial