AM

Mesyuarat Eksekutif SEANWFZ Tumpuan Utama SOM ASEAN Hari Ini

07/07/2025 08:34 AM

Oleh Yasmin Ahmad Zukiman

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) akan berlangsung hari ini, bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan.

Mesyuarat dijangka meneliti semula usaha jangka panjang ASEAN untuk mengekalkan rantau ini sebagai zon bebas senjata nuklear, seperti digariskan dalam Perjanjian SEANWFZ 1995.

Walaupun kesemua 10 negara anggota ASEAN telah meratifikasi perjanjian tersebut, usaha untuk mendapatkan tandatangan lima negara kuasa nuklear yang diiktiraf iaitu China, Perancis, Rusia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS), terhadap protokol perjanjian itu, masih diteruskan.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini berkata China dan Rusia telah bersetuju untuk menandatangani protokol tersebut, manakala AS masih menelitinya.

Selain itu turut diadakan Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) ASEAN dan Jawatankuasa Penggubalan SOM ASEAN, yang akan menyediakan asas perbincangan pada peringkat menteri, termasuk mengadakan perundingan dan memuktamadkan Kenyataan Bersama yang akan menjadi dokumen hasil utama bagi AMM ke-58.

Kenyataan itu dijangka menggariskan pendirian bersama ASEAN mengenai integrasi serantau, pembangunan komuniti dan pelbagai isu serantau dan global.

AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang berlangsung di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025, bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan,” akan merangkumi 24 mesyuarat peringkat menteri, termasuk sesi libat urus bersama rakan dialog ASEAN dan rakan dialog sektoral.

Mesyuarat yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari Selasa hingga Jumaat, menghimpunkan kira-kira 1,500 perwakilan terdiri daripada menteri luar ASEAN, Timor-Leste, rakan dialog ASEAN, negara yang menyertai Forum Serantau ASEAN (ARF), rakan dialog sektoral dan pegawai kanan Sekretariat ASEAN.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan