AM

KPJ Healthcare Rangkul 15 Anugerah Pada Ghapac 2025 Di Bangkok

07/07/2025 12:46 PM

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- KPJ Healthcare Bhd muncul sebagai kumpulan penjagaan kesihataan yang menerima pengiktirafan terbanyak pada GlobalHealth Asia-Pacific Awards (GHAPAC) 2025 yang berlangsung di Bangkok, Thailand baru-baru ini.

Menurut kenyataan hari ini, KPJ Healthcare memaklumkan ia meraih 15 anugerah sekali gus melakar prestasi cemerlang sebagai peneraju penjagaan berpusatkan pesakit yang berteknologi tinggi.

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Chin Keat Chyuan berkata anugerah itu mencerminkan dedikasi dan kerja berpasukan warga kerja di seluruh rangkaian KPJ.

"Pengiktirafan yang merentasi pelbagai bidang kepakaran ini menyerlahkan keupayaan klinikal kami serta usaha berterusan untuk menambah baik perkhidmatan yang diberikan.

"Berpandukan aspirasi Care for Life, kami terus komited untuk menyampaikan penjagaan bertaraf dunia yang dipacu oleh inovasi dan pendekatan penuh belas ihsan," katanya dalam kenyataan itu hari ini.

Anugerah GHAPAC, yang dianjurkan bersempena dengan Sidang Kemuncak dan Persidangan GlobalHealth Asia Pasifik, mengiktiraf kecemerlangan dalam inovasi klinikal, penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan dan teknologi perubatan di seluruh rantau ini.

Menurut kenyataan itu, sebanyak tujuh hospital KPJ menerima pengiktirafan dalam pelbagai bidang klinikal sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan kumpulan sebagai peneraju dalam penjagaan khusus dan kecemerlangan perkhidmatan.

Hospital Pakar KPJ Tawakal KL menerima empat anugerah, iaitu Diagnostic Imaging Centre of the Year, Ear, Nose, and Throat (ENT) Service Provider of the Year, Urology Service Provider of the Year, dan Brain and Spine Service Provider of the Year.

Hospital Pakar Damansara 2 mendapat tiga anugerah – Minimal Invasive Cardiac Surgery of the Year, Smart Hospital of the Year, dan Cardiology Service Provider of the Year.

Turut menerima tiga anugerah ialah Hospital Pakar Ampang Puteri dengan Oncology (Radiation) Service Provider of the Year, Spine Care Service Provider of the Year, dan Health Screening Provider of the Year.

Hospital Pakar KPJ Damansara pula meraih dua anugerah, iaitu Women’s Health & Wellness Service Provider of the Year, dan Paediatric Service Provider of the Year.

Hospital Pakar KPJ Kuching, Hospital Pakar Johor dan Hospital Pakar KPJ Perdana masing-masing memperoleh satu anugerah, iaitu Orthopaedic Service Provider of the Year, Oncology (Surgical) Service Provider of the Year, dan Obstetrics and Gynaecology Service Provider of the Year.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan