AM

100 Peniaga Di Jambatan Angkat Rugi Akibat Ribut

10/07/2025 09:00 PM

KUALA TERENGGANU, 10 Julai (Bernama) -- Kira- kira 100 peniaga di sekitar Jambatan Angkat di sini terpaksa menanggung kerugian selepas gerai mereka rosak dalam kejadian ribut kira-kira 2.30 petang tadi.

Seorang peniaga kuetiau Muhammad Zikri Mohd Noor, 31, berkata kejadian berlaku ketika beliau sedang bersiap-siap di rumahnya di Kampung Gelugor Kedai di sini untuk memulakan perniagaan.

Bagaimanapun menurutnya beliau serta peniaga lain agak bernasib baik kerana kerosakan hanya melibatkan struktur khemah dan bukannya barang jualan.

"Ketika kejadian saya berada di rumah di Kampung Gelugor Kedai menyiapkan peralatan dan barang jualan untuk berniaga kira-kira 4 petang.

"Selepas mendengar berita tersebut, saya terus bergegas ke sana (Jambatan Angkat) dan dapati hampir semua gerai jualan, kerusi dan meja yang disediakan untuk pelanggan dalam keadaan berselerak serta lintang-pukang," katanya ketika ditemui di tapak jualan Jambatan Angkat.

Muhammad Zikri berkata beliau telah mengalami kerugian sebanyak dua kali akibat ribut dalam tempoh dua minggu ini.

Menurutnya keadaan cuaca tidak menentu menyebabkan peniaga terpaksa berdepan risiko berikutan ribut dan hujan lebat yang berlaku secara tiba-tiba.

"Kami sedar lokasi perniagaan yang bersebelahan pantai memang berisiko. Tetapi itu sahaja pilihan kami ada. Hari ini saya rugi kira-kira RM500 sebab khemah dah tak boleh digunakan lagi..kena beli baru. Minggu lepas pun khemah rosak terkena ribut, tetapi kerugian lebih kecil sebab hanya membabitkan kain atap khemah," katanya.

Sementara itu, peniaga kopi dan popia Tuah Taib, 59, dari Bukit Payong di Marang berkata beliau terpaksa mengeluarkan belanja kira-kira RM350 untuk membaiki tiang gerainya yang patah.

"Sepanjang tiga tahun saya berniaga di sini, ini adalah kali ketiga saya rugi akibat ribut. Hari ini kami agak bernasib baik kerana kejadian berlaku awal, barang jualan masih di dalam kereta dan belum dikeluarkan," katanya.

Katanya lagi walaupun berdepan risiko, beliau tetap memilih untuk berniaga di tapak jualan Jambatan Angkat kerana lokasinya yang strategik dan menjadi tumpuan pelancong terutama pada musim cuti.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan