AM

‘Keychain’ Penyu Bertopi Keledar Laris Di PMR Terengganu

12/07/2025 01:28 PM

Oleh Lucia Terey Anak John

KUALA TERENGGANU, 12 Julai (Bernama) -- Cenderamata unik berupa rantai kunci patung penyu memakai topi keledar yang pernah tular semasa Himpunan RXZ Members 6.0 tahun lepas, kembali menjadi rebutan dalam Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Terengganu.

Tinjauan Bernama di Pasar Payang, lokasi penganjuran PMR sejak Khamis lalu, mendapati pengunjung khususnya dari luar Terengganu, tidak melepaskan peluang mendapatkan keychain penyu comel itu sebagai cenderahati, selain produk popular lain seperti keropok lekor dan kain batik.

Pekerja kedai kraftangan dan cenderamata Corak Kita, Sarah Mohd Rizal, 19, berkata sambutan luar biasa diterima sejak program itu bermula.

“Kalau minggu lepas kami cuma jual sekitar 30 unit patung penyu, tapi dalam dua hari pertama PMR ini sahaja, jualan sudah mencecah 60 unit. Ramai pegawai kerajaan dan pengunjung luar singgah beli untuk dijadikan kenangan,” katanya yang sudah setahun bekerja di kedai berkenaan.

Menurut Damia Sarah, daripada pelbagai jenis cenderamata bertemakan penyu yang dijual, keychain penyu paling laris kerana comel, mudah dibawa dan berharga berpatutan iaitu RM10 seunit atau RM25 bagi tiga unit.

Selain rantai kunci penyu bertopi keledar, antara barangan lain yang turut dijual termasuk bantal baldu, beg kecil, magnet peti sejuk dan bantal peluk bersaiz besar.

“Rekaan penyu helmet ini jadi trend sejak video program RXZ tahun lepas tular. Ramai pelanggan datang khas ke sini mencarinya. Kami harap program seperti PMR ini diteruskan kerana ia bantu melonjakkan jualan peniaga tempatan,” katanya.

Sementara itu, pemilik Kedai Cenderamata Ros Sofila, Nur Ros Sofilawati Mohamad, 41, turut mengakui jualan patung penyu melonjak ketara sejak berlangsungnya PMR.

“Kebiasaannya saya jual 20 hingga 30 unit sehari. Tapi sejak dua hari lalu, jualan berganda. Patung penyu besar bersaiz 90 sentimeter dengan harga RM100 pun ada yang beli,” katanya yang sudah 15 tahun berniaga di Pasar Payang.

Menurutnya, terdapat kira-kira 19 kedai di pasar itu yang menjual pelbagai cenderamata berunsurkan penyu, selain produk lain seperti batik, keropok dan makanan tradisional.

“Pembeli kami bukan sahaja dari dalam negara, malah dari China dan Eropah, terutama pelancong yang dalam perjalanan ke Pulau Redang dan pulau-pulau sekitarnya. Patung penyu jadi pilihan kerana ia ikon Terengganu dan mudah dikenang,” katanya.

Seorang pengunjung, Kamal Zuraimi Zamli, 55, dari Brinchang, Cameron Highlands turut tidak ketinggalan membeli cenderamata penyu untuk anak perempuannya yang berusia sembilan tahun.

“Saya ada tugasan di Pusat Latihan Terengganu FELDA Trace. Jadi, saya singgah di Pasar Payang dan teringat anak saya suka bantal haiwan. Saya beli bantal penyu ini untuk dijadikan kenangan.

“Lagipun, kalau dah sampai Terengganu, memang tak lengkap kalau tak bawa balik penyu,” katanya berseloroh.

PMR Terengganu yang berlangsung tiga hari sehingga hari ini menjadi platform strategik menyatukan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, kementerian, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam menyampaikan maklumat, peluang dan perkhidmatan secara langsung kepada rakyat.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan