Oleh Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman
KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Isu buli siber terhadap artis tempatan, khususnya wanita, semakin membimbangkan apabila penghinaan terbuka, ejekan berulang dan budaya ‘cancel culture’ terus menular dalam dunia hiburan seiring penggunaan meluas media sosial.
Antara yang pernah menjadi sasaran serangan maya ialah pelakon dan pengacara popular, Saidatul Naseha Uyaina Arshad atau lebih dikenali sebagai Uyaina Arshad, yang baru-baru ini menarik perhatian selepas mendedahkan cercaan yang diterimanya daripada warganet.
Bagi selebriti berusia 33 tahun itu, kesabaran ada hadnya dan selepas sekian lama berdiam diri, beliau akhirnya tampil bersuara, menyifatkan tindakan itu sebagai bentuk advokasi dan peringatan kepada masyarakat bahawa buli siber bukanlah isu remeh.
“Kalau saya sendiri tak pertahankan diri saya, siapa lagi?” katanya kepada Bernama sambil meluahkan kebimbangan terhadap budaya buli siber yang kian dianggap biasa dalam masyarakat hari ini.
Mengakui dirinya bertuah kerana mempunyai sistem sokongan kukuh daripada keluarga dan rakan-rakan, Uyaina tidak menolak kemungkinan ramai mangsa lain tidak bernasib baik sepertinya.
“Saya mungkin tak terkesan sangat, tapi orang lain? Ada yang benar-benar terguris, ada yang murung, ada yang rasa keseorangan,” katanya.
Berpegang kepada prinsip ‘ignorance is bliss’ pada awalnya, bekas pengacara program NONA, Wanita Hari Ini dan MeleTOP itu memilih untuk berdiam diri selama sembilan tahun, namun apabila tuduhan palsu semakin keterlaluan, beliau tidak sanggup lagi tunduk kepada tekanan.
“Sejak mula menceburi industri, saya tahu ini adalah sebahagian daripada pakejnya. Ada orang yang tidak suka cara anda, sama ada ketika berlakon atau mengacara. Bernafas pun mungkin ada yang tak suka kepada anda, sebab mereka memang tidak suka,” katanya.
Uyaina berkata antara mesej paling menyakitkan yang pernah diterima ialah yang menyasarkan keluarganya.
“Ada yang persoalkan bagaimana mak saya membesarkan saya. Ada yang cerita pasal saya masa sekolah, padahal orang itu tak pernah pun kenal saya. Tapi mereka bercakap seolah-olah tahu segalanya.”
“Ramai selebriti yang mesej saya secara peribadi, menunjukkan mesej buli yang mereka terima. Cuma mereka tak berani bersuara. Saya tak marah mereka, sebab setiap orang ada kekuatan dan cara tersendiri,” katanya sambil menggesa rakan senasib untuk mempertahankan diri.
Antara selebriti tanah air yang pernah menjadi mangsa buli siber termasuklah Mawar Rashid, Wani Kayrie, Ara Johari, Aina Abdul dan Janna Nick.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dilaporkan telah menurunkan sebanyak 8,756 kandungan berkaitan buli siber sepanjang tahun lepas, peningkatan ketara berbanding hanya 1,763 kandungan pada tahun sebelumnya.
Sementara itu, Pengarah Program Doktor Falsafah Komunikasi dan Pengajian Media, School of Media and Communication Taylor's University Dr Nur Haniz Mohd Nor berkata tindakan segelintir warganet yang menghina dan memalukan selebriti secara terbuka merupakan satu bentuk buli siber lebih berat iaitu ‘shaming’, yang boleh memberi kesan besar terhadap kesejahteraan mental artis.
Menurut beliau, kesan psikologi kepada mangsa boleh berlaku dalam jangka masa pendek mahupun panjang.
“Pada awalnya, mereka mungkin kata tidak peduli, tapi kalau berterusan, ia tetap memberi kesan kepada kesihatan mental serta prestasi kerja. Ia tidak adil kerana mereka juga manusia biasa yang cuba menjalani kehidupan sebaik mungkin,” katanya.
Beliau turut menyentuh peranan budaya pemujaan (fan culture) dan budaya memboikot (cancel culture) yang menyumbang kepada ketoksikan media sosial.
“Budaya pemujaan boleh menyebabkan peminat menyerang ‘anti-fans’ atau sesiapa sahaja yang tidak bersetuju dengan pandangan mereka. Manakala budaya ‘cancel culture’ pula melibatkan tindakan mengecam dan memboikot seseorang secara terbuka apabila dianggap melakukan kesalahan sosial atau moral.
“Serangan berkumpulan (dogpiling) juga berlaku apabila selebriti diserang secara serentak dengan komen negatif, ugutan serta penggunaan meme secara berlebihan,” jelasnya.
Sementara itu, penganalisis jenayah Kamal Affandi Hashim berpandangan bahawa persepsi masyarakat yang menganggap selebriti sebagai milik umum merupakan antara punca utama mereka menjadi sasaran buli siber.
“Kalau kita buat ugutan, tindakan boleh diambil di bawah Kanun Keseksaan seperti Seksyen 506, iaitu ugutan jenayah. Kalau kita guna kata-kata yang menggentarkan orang lain, tindakan boleh diambil di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya.
Isu buli siber merupakan antara fokus utama Kempen Internet Selamat (KIS) yang digerakkan Kementerian Komunikasi dan MCMC bagi meningkatkan literasi masyarakat terhadap cabaran dunia digital.
KIS turut memberi tumpuan kepada isu penipuan dalam talian, perjudian digital serta kandungan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) yang semakin menular seiring perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial