PUTRAJAYA, 24 Julai (Bernama) -- Kerajaan mengecualikan caj 1.6 peratus Kumpulan Wang Tenaga Boleh Baharu (KWTBB) bagi tarif elektrik daripada program tenaga boleh baharu berkuat kuasa 1 Ogos ini.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan memaklumkan pengecualian itu melibatkan tiga program utama iaitu Tarif Elektrik Hijau (GET), Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) dan Community Renewable Energy Aggregation Mechanism (CREAM).
Langkah itu selaras dengan hasrat untuk merancakkan pembangunan dan integrasi tenaga boleh baharu (TBB) dalam pembekalan elektrik negara.
"Dengan ketetapan serta penambahbaikan ini, PETRA berharap ia akan memberikan insentif kepada pengguna terutamanya syarikat korporat dan industri untuk terus menyokong agenda peralihan tenaga negara ke arah mencapai sasaran 70 peratus TBB dalam pembekalan elektrik negara menjelang 2050," menurut kenyataan itu hari ini.
PETRA memaklumkan usaha itu juga diharap akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri TBB negara yang lebih progresif dan positif.
“Kutipan 1.6 peratus KWTBB daripada tarif elektrik pengguna telah diperkenalkan pada 2011 sebagai dana untuk memangkin pertumbuhan pembangunan TBB di negara ini melalui pelaksanaan mekanisme tarif galakan atau Feed-in Tariff (FiT) oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia.
"Sejak pelaksanaan mekanisme FiT ini, kapasiti TBB teragih dalam sistem pembekalan elektrik negara terutamanya daripada sumber solar telah meningkat secara mendadak iaitu daripada lima megawatt (MW) pada 2011 kepada 5,100MW pada masa ini," menurut kenyataan itu.
PETRA memaklumkan pada masa yang sama, program FiT juga berjaya meningkatkan komposisi pembekalan elektrik daripada sumber biogas, biojisim dan hidro kuasa kecil kepada 855MW.
“Susulan daripada jadual tarif elektrik baharu yang berkuat kuasa mulai 1 Julai lepas, kerajaan telah meneliti semula pelaksanaan program TBB sedia ada dan memutuskan untuk meneruskan hasrat untuk menggalakkan penerapan TBB dalam kalangan pengguna elektrik,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial