AM

Anwar Titip Pesanan Perhimpunan Sabtu Berlangsung Aman, Tertib

24/07/2025 05:53 PM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil maklum tentang perhimpunan pada Sabtu ini dan sebagai seorang yang berpegang teguh kepada prinsip Perlembagaan dan semangat reformasi, beliau menitipkan pesanan agar ia berlangsung secara aman dan tertib.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini berkata Anwar telah mengarahkan pihak polis untuk memberikan kerjasama sewajarnya demi memastikan keselamatan awam dan kelancaran perhimpunan itu.

“Kedua, pendirian Kerajaan MADANI adalah jelas dan konsisten, kita merayakan demokrasi. Hak untuk bersuara, termasuk daripada pihak yang menentang kerajaan adalah satu elemen penting dalam negara yang bebas dan adil. Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, ruang ini bukan sahaja dibuka luas, malah dihormati.

“Apa jua ketidaksetujuan terhadap kerajaan, termasuk menerusi demonstrasi awam, tidak akan disekat secara membuta tuli. Sebaliknya, ia dianggap sebahagian daripada amalan demokrasi yang sihat dan matang, selagi tidak melanggar undang-undang dan mengancam keselamatan awam.

“Marilah kita terus menjunjung demokrasi dengan akal waras, semangat yang matang dan sikap bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan MADANI berdiri teguh bukan kerana menutup ruang kritikan tetapi membuka ruang toleransi dengan penuh ihsan dan istiqamah.

“Kita merancang, Allah Taala juga merancang, Allah Taala sebaik-baik perancang dan maha penentu segalanya,” katanya.

Semalam, Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad dilaporkan berkata pihaknya menerima 60 laporan dari seluruh negara setakat Rabu lepas, berhubung perhimpunan yang dijadual berlangsung Sabtu ini di ibu negara.

Perhimpunan berkenaan dijangka disertai antara 10,000 hingga 15,000 peserta, membabitkan gabungan badan bukan kerajaan (NGO), mahasiswa serta masyarakat awam.

Sementara itu, Tunku Nashrul berkata sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025, kerajaan melancarkan gerakan ‘Bersama Malaysiaku’ sebagai wadah menzahirkan semangat kebersamaan serta menyemarakkan patriotisme melalui penyertaan rakyat pelbagai lapisan masyarakat.

Beliau berkata penyertaan dalam gerakan ini yang dibuka hingga 30 Sept akan menampilkan ‘Wajah Malaysia’ melalui rangkaian foto rakyat daripada segenap latar sosioekonomi dan budaya.

Orang ramai dijemput merakam detik-detik ketika berkhidmat dan berkongsi gambar mereka di laman web rasmi Bersama Malaysiaku di bersamamalaysiaku.malaysiamadani.gov.my. 

“Insya-Allah, foto-foto terpilih bakal menghiasi platform media sosial Perdana Menteri, agensi kerajaan, stesen televisyen serta paparan digital mengingatkan jutaan mata bahawa kemerdekaan bukan sekadar lembaran sejarah, tetapi perjalanan kolektif yang dipacu setiap warga,” katanya.

Beliau berkata gerakan ini selari dengan tekad Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang akan dibentangkan Perdana Menteri pada 31 Julai, yang bertujuan membina negara berteraskan nilai ihsan dan prinsip keadilan, dengan setiap sumbangan diiktiraf sebagai nadi Malaysia MADANI.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan